KUALA LUMPUR 17 April — Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) diyakini menghasilkan produk susu segar huluan melibatkan 2,500 ekor lembu yang baharu diterima di ladang ternakan terbesar syarikat itu yang dikenali Agrivalley di Gemas, Negeri Sembilan.
Penganalisis berkata, perniagaan baharu tersebut akan menjadi realiti tidak lama lagi susulan ketibaan kumpulan sulung lembu baka terbaik Holstein dari Chile ini menandakan perubahan penting dalam usaha tenusu bersepadu bernilai RM3 bilion kumpulan itu.
Kenanga Research berkata, sebelum ini F&N berdepan kesukaran apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Oktober 2025 membatalkan permit importnya bagi penghantaran terancang lembu tenusu baka dari Amerika Syarikat (AS) kerana kebimbangan biosekuriti.
"Walaupun pendapatan jangka pendek menerima kesan sederhana daripada kos awal terutama dengan susut nilai lebih tinggi, kami melihat ini sebagai langkah strategik menambah prospek pertumbuhan jangka panjang industri tenusu F&N," katanya dalam nota kajian.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ekoran isu kelewatan yang berjaya diselesaikan F&N dengan lebih awal, ia menjangkakan operasi pengeluaran susu pertama daripada ladang moden berkeluasan 2,726 hektar di Londah itu akan dapat bermula pada pertengahan 2025.
Menurut F&N, lembu Chile itu telah diuji secara genomik sepenuhnya dengan piawaian Indeks Prestasi Jumlah Genomik (GTPPI) setanding dengan import AS yang dirancang pada asalnya, serta berpotensi menghasilkan kapasiti susu sehingga 40 liter setiap hari.
Lembu-lembu betina tersebut yang dibawa dengan kapal pengangkut ternakan dari ibu negara Chile, Santiago itu kini dikuarantin ketat dalam kemudahan terkawal iklim di Agrivalley sejurus tiba di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor pada 14 April 2025.
Kenanga Research turut mengulangi saranan "outperform" ke atas saham F&N namun telah mengurangkan unjuran pendapatannya untuk tahun depan sebanyak dua peratus setelah mengambil kira susut nilai dan kos operasi yang berkaitan dengan ladang tenusu.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut menaikkan harga sasaran (TP) untuk dagangan saham syarikat berkenaan di bursa sebanyak lima peratus kepada RM29.80 sesaham berbanding hanya RM28.50 sebelumnya.
Artikel berkaitan: F&N Agrivalley terima 2,500 lembu tenusu komersial pertama dari Chile
"Kami terus menyukai F&N kerana ketahanan pendapatannya, memandangkan permintaan yang stabil untuk barangan makanan adalah penting walaupun berlaku inflasi tinggi dan prospek ekonomi global yang tidak menentu," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, terdapat juga peningkatan populariti produk sedia untuk diminum, dengan jenama F&N masih lagi mempunyai kehadiran yang kukuh di pasaran.
Sementara itu, MIDF Research berkata, kejayaan ketibaan kumpulan ternakan dari Chile itu menekankan komitmen F&N untuk meningkatkan tahap pengeluaran susu segar dan menjamin keselamatan makanan secara jangka panjang untuk Malaysia.
Ia menegaskan bahawa ladang tenusu bersepadu di Gemas adalah pusat kepada matlamat F&N yang lebih luas untuk berubah daripada pengeluar minuman kepada pemain tenusu bersepadu secara menegak.
Walaupun hasil projek AgriValley akan mengambil masa untuk ditingkatkan, implikasi jangka panjangnya untuk ekuiti jenama, dan penggantian import adalah besar, kata firma penyelidikan itu.
MIDF Research telah mengekalkan ramalan pendapatannya untuk syarikat itu pada 2025 dan seterusnya buat masa ini, sementara menunggu pengeluaran susu dan keluaran komersial pertama daripada AgriValley.
Berdasarkan situasi semasa, ia menurunkan TP untuk F&N kepada RM32.68 sesaham daripada RM36.77, dengan ramalan pertumbuhan pendapatan syarikat yang tidak berubah sepanjang tahun ini.
"Kami kekal optimistik terhadap prospek F&N, disokong oleh pendapatan kukuh, daya ketahanan dan asas penggunanya yang berdaya tahan," kata firma penyelidikan itu. - DagangNews.com








