KUALA LUMPUR 26 Nov – Feytech Holdings Bhd melancarkan pusat pengeluaran tempat duduk automotif baharu di kilang yang terletak di Subang Jaya bagi menyokong jenama Chery, Jetour dan pengeluar kenderaan asal (OEM) lain di rantau ini.
Kilang itu beroperasi di bawah FTRT Autoparts Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Feytech Holdings dan rakan kongsinya dari China, Wuhu Ruitai Auto Parts Co Ltd.
FTRT Autoparts berkata, pusat pengeluaran di kilang itu menempatkan aktiviti reka bentuk, pengeluaran dan pemasangan komponen serta bahagian tempat duduk automotif dalam ruang seluas 81,980 kaki persegi.
“Pelaburan awal bagi projek ini adalah sekitar RM10 juta dan ia dijangka menyokong penghasilan tempatan untuk program kenderaan semasa dan akan datang.
“Apabila pengeluaran meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang, khususnya dengan pengembangan Chery Group di Hulu Selangor, pusat pengeluaran ini dijangka mewujudkan kira-kira 300 peluang pekerjaan.
“Pada kapasiti penuh, pusat pengeluaran ini dijangka menghasilkan kira-kira 36,000 set kenderaan setiap tahun, dengan sebahagian pengeluaran disasarkan untuk eksport serantau melalui pelanggan OEM FTRT,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kerajaan akan memperkenalkan insentif mekanisme sesuai (NCM) bagi memberi ganjaran kepada OEM yang komited kepada penghasilan produk dengan pembekal tempatan.
“Usaha sama strategik FTRT berada pada kedudukan terbaik untuk menyokong inisiatif kerajaan ini serta meningkatkan kemampuan teknikal industri automotif Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Connie Go berkata, inisiatif itu membuka peluang baharu untuk menyokong penghasilan tempatan komponen tempat duduk automotif untuk Chery dan Jetour di Malaysia, sambil memberi platform untuk berkembang ke pasaran serantau apabila permintaan bagi komponen bernilai tinggi meningkat.
Pusat pengeluaran FTRT itu menampilkan dua barisan pemasangan automatik yang direka untuk memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti global.
Walaupun fokus awal adalah pada model Chery dan Jetour yang dipasang di Malaysia, pusat pengeluaran itu dijangka mampu menyokong program OEM tambahan pada masa akan datang. - DagangNews.com








