Felda belum laksana keputusan timbang tara Eagle High susulan petisyen balas kumpulan Rajawali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Felda belum laksana keputusan timbang tara Eagle High susulan petisyen balas kumpulan Rajawali

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) belum menguatkuasakan keputusan timbang tara berkaitan penjualan 37% pegangannya dalam PT Eagle High Plantations Tbk (Eagle High) kepada Kumpulan Rajawali, yang dimenanginya pada 14 Jun 2024, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

Beliau berkata, hal itu kerana Kumpulan Rajawali menerusi Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Capital (RC) telah memfailkan petisyen pada 6 Februari 2025 di Mahkamah Daerah Jakarta Pusat, bagi membatalkan atau menghalang pelaksanaan keputusan timbang tara yang dikeluarkan pada 14 Jun 2024 itu.

 

“Selari dengan peraturan mahkamah dan mengambil kira tanggungjawab FIC Properties Sdn Bhd (FICP) mematuhi peraturan tersebut, butiran lanjut tidak dapat didedahkan buat masa ini,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin di Dewan Rakyat.

 

FICP milik Felda menang dalam percubaan kedua syarikat itu melaksanakan opsyen jual untuk menjual 37% pegangannya dalam PT Eagle High Plantations Tbk kepada Kumpulan Rajawali.

 

Tribunal timbang tara tersebut, dalam keputusannya memerintahkan sama ada PT Rajawali Capital International atau PT Rajawali Capital, atau kedua-duanya, untuk memenuhi kewajipan mereka di bawah opsyen jual dengan membeli semula saham Eagle High Plantation pada harga yang dipersetujui oleh FICP.

 

Ahmad Zahid menjelaskan Felda dan FICP sentiasa mempertahankan kesahan hak Opsyen Jual tersebut dan berpuas hati apabila tribunal akhirnya mengesahkan pendirian itu melalui keputusan yang dikeluarkan.

 

Tribunal timbang tara memihak kepada Felda dalam bidaan kedua untuk menjual semula pegangan Eagle High

 

Mengulas kedudukan tunai Felda, beliau berkata, ia kekal positif dan berada dalam kawalan, hasil daripada penambahbaikan kecekapan penggunaan sumber melalui langkah penjimatan perbelanjaan.

 

Antara sumber hasil Felda termasuk pulangan daripada lot-lot ladang, pajakan tetap, perkongsian keuntungan di bawah perjanjian pajakan tanah, pendapatan sewa, dividen daripada anak syarikat danlain-lain sumber pendapatan.

 

Katanya, dalam usaha memperkukuh aliran pendapatan jangka panjang, Felda kini sedang berusaha untuk mengambil alih 90% kepentingan dalam FGV Holdings Bhd, sebagai langkah strategik meningkatkan pendapatan dan kedudukan aliran tunai. - DagangNews.com