Felcra Bhd bayar agihan pendapatan RM204 juta kepada peserta di Pahang, tertinggi dalam tempoh 20 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Felcra Bhd bayar agihan pendapatan RM204 juta kepada peserta di Pahang, tertinggi dalam tempoh 20 tahun

Gambar Felcra Negeri Pahang
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac – Peserta Felcra Berhad di Negeri Pahang mencatatkan agihan pendapatan tertinggi setakat ini, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM204 juta setelah hampir 20 tahun peserta hanya menerima agihan pada kadar minimum.

 

Agihan tersebut diberikan kepada 18,805 peserta Felcra di seluruh negeri melalui tiga fasa pembayaran sepanjang tahun 2025 dan awal 2026. Pembayaran pertama dibuat pada bulan Ogos sebanyak RM34.18 juta, diikuti dengan RM65.40 juta pada bulan Oktober, dan dividen terakhir RM104.41 juta diagihkan pada bulan ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, menyifatkan jumlah agihan kali ini sebagai satu pencapaian penting bagi peserta Felcra di negeri itu.

 

Beliau berkata, faktor utama kejayaan ini termasuk luasnya ladang Felcra di Pahang dan pengurusan yang teratur, selain sedikit peningkatan harga komoditi ladang yang menyumbang kepada hasil yang lebih tinggi.

 

“Agihan yang besar ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi kewangan, tetapi juga menambah kegembiraan peserta menjelang Ramadan dan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

 

“Terima kasih dan tahniah kepada Felcra atas kejayaan menguruskan ladang-ladang yang diamanahkan oleh kerajaan dengan cekap, sehingga hasilnya dapat dinikmati oleh peserta.

 

“Walaupun harga produk sedikit meningkat, pengurusan yang baik tetap menjadi faktor utama kejayaan ini. Tanpa pengurusan yang sistematik, agihan sebesar ini tidak dapat dicapai,” katanya.

 

Pada tahun 2025, Felcra mengagihkan pendapatan keuntungan sebanyak RM632.76 juta yang merangkumi agihan interim, agihan bulanan serta agihan akhir kepada peserta di seluruh negara.

 

Dalam pada itu, beliau berkata model pengurusan dan pemantauan ladang yang berkesan itu wajar diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan kestabilan pendapatan peserta Felcra.

 

Beliau berharap pencapaian kali ini akan menjadi motivasi kepada semua pihak untuk terus mengekalkan prestasi ladang Felcra sekaligus memberikan impak positif kepada pembangunan desa dan kesejahteraan peserta di Negeri Pahang. - DagangNews.com