KUALA LUMPUR 19 Mac – Momentum pemulihan FTSE Bursa Malaysia (FBMKLCI) yang kembali melepasi paras purata bergerak utama semalam dilihat positif, menurut Maybank Investment Bank dalam analisisnya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut masih lagi mengingatkan para pelabur supaya terus kekal selektif memandangkan sebahagian besar sektor yang dinilai berada dalam trend aliran penurunan.
Sentimen pasaran katanya, bertambah baik apabila indeks penanda aras itu melonjak 18.82 mata atau 1.1% untuk ditutup pada 1,729.81 mata petang semalam, didorong kekuatan beberapa kaunter utama.
“Ini termasuk IHH Healthcare Berhad, manakala Penyertaan Sunmed Group Berhad ke Pasaran Utama turut membantu mengangkat FBMKLCI apabila muncul antara kaunter paling untung,” kata Maybank IB.
Secara keseluruhan, keluasan pasaran adalah positif dengan 657 kaunter untung berbanding 480 rugi, sementara indeks saham pertengahan dan kecil turut mencatat kenaikan seiring dengan indeks utama.
Firma itu namun menegaskan pemulihan ini masih bersifat tidak sekata, dengan beberapa sektor kekal dalam trend penyusutan, sekali gus memerlukan pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati.
Tambah Maybank IB, aliran pemulihan sejumlah saham kewangan dan kekuatan berterusan dalam sektor perladangan menjadi antara tema utama yang perlu diberi perhatian oleh para pelabur yang sensitif.

"Dari sudut teknikal, kami menjangkakan FBMKLCI akan bergerak dalam julat antara 1,720 hingga 1,740 mata untuk tempoh yang terdekat, dengan paras sokongan pada 1,640 dan 1,600 mata," jelasnya.
Dalam cadangan dagangan, ia mengesyorkan pelabur memberi perhatian kepada Kee Ming Group Berhad yang menunjukkan pemulihan selepas menembusi garis aliran menurun, disokong sentimen 'bullish'.
Selain itu, Maybank IB menyarankan agar 'beli' Powerwell Holdings Berhad yang dinilai berpotensi meneruskan momentum kenaikan setelah harga sahamnya kembali melepasi paras bercorak ‘neckline’.
Sebaliknya, ia menasihatkan 'jual' D&O Green Technologies Berhad yang berdepan dengan tekanan jualan berterusan, dengan isyarat teknikal menunjukkan kemungkinan trend menurun akan bersambung.
"Dalam segmen komoditi, kontrak hadapan minyak sawit mentah (FCPO) dilihat meneruskan penyusutan selepas indeks kekuatan relatif (RSI) keluar daripada zon terlebih beli," kata firma tersebut.
Harganya jelas Maybank IB, namun masih kekal di atas purata pergerakan, menandakan pembetulan mungkin bersifat sementara, manakala kontrak hadapan FKLI pula menunjukkan perkembangan positif.
Ia berjaya menembusi paras rintangan 1,730 mata dan kembali berada di atas semua purata bergerak utama, sekali gus menyokong potensi kesinambungan aliran menaik dalam jangka pendek. - DagangNews.com








