FBMKLCI dijangka lebih kukuh Q4 2025, disokong Bajet 2026 - TA Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FBMKLCI dijangka lebih kukuh Q4 2025, disokong Bajet 2026 - TA Research

Visual grafik dihasilkan secara AI oleh DagangNews.com
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Okt - Indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI, dijangka mengekalkan aliran positif pada suku keempat 2025, dipacu oleh asas ekonomi negara yang kukuh, prospek pendapatan korporat yang bertambah baik serta minat belian asing yang kembali meningkat.

 

Menurut TA Research, walaupun FBM KLCI masih susut 1.9% sejak awal tahun, penanda aras itu telah melonjak daripada paras terendah April 1,386.63 kepada 1,611.88 pada akhir September.

 

TA Research mengekalkan sasaran akhir 2025 pada paras 1,660 mata, berdasarkan 14.5 kali unjuran pendapatan tahun kewangan 2026.

 

“Sektor perbankan, pembinaan domestik, hartanah serta kaunter defensif dijangka menjadi pemacu utama, selain tumpuan terhadap saham berkapasiti kecil berpotensi tinggi,” kata firma penyelidikan itu dalam laporan tinjauan 4Q25.

 

TA Research turut menjangkakan Bajet 2026 yang bakal dibentangkan pada 10 Oktober akan menjadi pemangkin kepada sentimen pasaran, khususnya dengan unjuran peruntukan RM425.5 bilion (+3.3%) – 80% daripadanya untuk perbelanjaan mengurus manakala pembangunan difokuskan kepada infrastruktur, tenaga boleh diperbaharui dan digitalisasi.

 

Hasil kerajaan dijangka meningkat 4% kepada RM343.8 bilion, dengan defisit fiskal dianggarkan pada 3.8%. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pula diunjurkan berkembang antara 4.5% hingga 5.0%, disokong sektor perkhidmatan dan pembuatan, pasaran buruh yang stabil serta pelaburan swasta yang berterusan.

 

TA Research menambah, walaupun risiko tarif global, ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan Ukraine serta hubungan dagangan AS–China kekal sebagai cabaran, jangkaan penurunan kadar faedah AS dan langkah Presiden Trump untuk menstabilkan dasar perdagangan menjelang pilihan raya Kongres 2026 dijangka meredakan kebimbangan pelabur.

 

China kekal sebagai faktor utama dengan unjuran pertumbuhan sekitar 5% tahun ini, yang mampu meningkatkan keyakinan pelabur serantau. Namun, ketegangan berhubung isu Taiwan dan pertikaian wilayah masih menjadi halangan kepada sentimen pasaran global.

 

Bagi strategi pelaburan, TA Research mencadangkan empat tema utama:

  1. Blue Chips undervalued – HLBANK, PBBANK dan TENAGA

  2. Pembinaan & hartanah domestik – GAMUDA, SIMEPROP dan SKYWLD

  3. Kaunter defensif – F&N dan KIPREIT

  4. Small caps berpotensi tinggi – EXSIMHB dan PGF

 

Dengan sejarah menunjukkan suku keempat adalah yang paling konsisten, mencatat 70.8% kebarangkalian keuntungan sukuan dengan purata pulangan 4.4%, TA Research percaya potensi FBM KLCI untuk mengekalkan momentum masih kukuh menjelang 2026. - DagangNews.com