FBM KLCI dijangka terus mengukuh disokong musim keputusan korporat - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FBM KLCI dijangka terus mengukuh disokong musim keputusan korporat - TA Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Julai - FBM KLCI dijangka mengekalkan kecenderungan menaik minggu ini, disokong oleh pembelian berterusan pelabur institusi ketika musim keputusan kewangan korporat bagi suku kedua 2026 bermula, menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan kewangan syarikat tersenarai berpotensi memberikan kejutan positif sekiranya selari dengan momentum pertumbuhan ekonomi negara yang lebih kukuh pada suku kedua, sekali gus menjadi pemangkin utama kepada prestasi pasaran dalam tempoh terdekat.

 

"Sentimen pasaran turut diperkukuhkan oleh anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang berkembang 5.8% tahun ke tahun pada suku kedua 2026, mengatasi unjuran konsensus sebanyak 5.2%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Minggu lalu, FBM KLCI melonjak 39.96 mata atau 2.36% untuk ditutup pada paras 1,731.45 mata, didorong kenaikan saham wajaran tinggi termasuk Petronas Chemicals, SD Guthrie, Public Bank dan Press Metal Aluminium Holdings.

 

Momentum positif itu turut disokong oleh kemasukan semula dana asing serta data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan, sekali gus mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengekalkan kadar faedahnya dalam tempoh terdekat.

 

Selain itu, pasaran turut menerima rangsangan daripada anggaran awal KDNK Malaysia yang jauh mengatasi jangkaan, walaupun ketegangan geopolitik di Asia Barat dan perkembangan politik domestik terus menjadi faktor yang diperhatikan pelabur.

 

Pertumbuhan Ekonomi

Menurut TA Securities, pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.8% pada suku kedua didorong oleh prestasi lebih kukuh sektor pembuatan yang berkembang 7.5%, pemulihan sektor perlombongan kepada 10.2% hasil peningkatan pengeluaran gas asli, serta pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 5.4%.

 

Bagaimanapun, sektor pertanian menguncup 3.7%, terutamanya disebabkan pengeluaran kelapa sawit dan hasil perikanan yang lebih rendah.

 

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang 5.6% pada separuh pertama 2026 berbanding 4.5% dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan daya tahan ekonomi domestik walaupun berdepan ketidaktentuan luaran.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi ekonomi yang kukuh memberi prospek positif kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E), pusat data, pembinaan bukan kediaman, logistik, perindustrian terpilih serta syarikat yang bergantung kepada permintaan domestik.

 

Dalam masa sama, inflasi yang kekal rendah pada kadar 1.9% pada Jun 2026 dijangka membolehkan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% kerana tiada keperluan mendesak untuk mengetatkan dasar monetari.

 

Walaupun prospek pasaran kekal positif, TA Securities memberi amaran aktiviti pengambilan untung mungkin mengehadkan kenaikan indeks memandangkan FBM KLCI kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) konsensus tahun kalendar 2027 sebanyak 14.4 kali, lebih tinggi berbanding purata pasaran serantau sebanyak 11.1 kali. - DagangNews.com