KUALA LUMPUR 6 Mei - Favelle Favco Berhad menerusi Favelle Favco Cranes Pty Limited dan Favelle Favco Cranes (M) Sdn Bhd menerima pesanan pembelian kren daripada empat syarikat antarabangsa bernilai RM43.9 juta.
Kumpulan itu berkata, Favelle Favco Cranes akan membekalkan kren menara baharu dan terpakai kepada Marr Contracting Pty Ltd yang dijadualkan untuk penghantaran pada suku ketiga dan keempat tahun ini.
Katanya, Favelle Favco Cranes Pty Limited akan membekalkan kren luar pesisir kepada PT. Gunanusa Utama Fabricators dan Offshore Oil Engineering Co Ltd dengan penghantarannya dijadualkan pada suku kedua dan suku keempat 2025.
"Ia juga akan membekalkan kren menara kepada Oriental Rigging & Equipment Corporation menjelang akhir tahun ini," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Favelle Favco bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya.
Kontrak tersebut tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham kumpulan.
Tiada pengarah atau pemegang saham utama atau orang yang berkaitan dengan pengarah atau pemegang saham utama mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com








