KUALA LUMPUR 10 Feb – Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal optimis terhadap prospek jangka sederhana hingga panjang CPE Technology Bhd disokong oleh jangkaan pemulihan permintaan serta peralihan kepada pengeluaran besar-besaran selepas pencapaian peringkat kelayakan projek Artikel Pertama (FA).
Firma penyelidikan itu berkata, peralihan tersebut dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan volum dan pendapatan pada masa hadapan, apabila projek FA mula menyumbang secara bermakna kepada hasil kumpulan.
Berdasarkan data luar, sehingga Nov 2025, CPE telah terbabit dalam 50 projek FA membabitkan penghasilan prototaip, sampel khusus untuk pelanggan semikonduktor dari Amerika Syarikat dengan pengeluaran besar-besar dijangka pada tahun ini.
Sehubungan itu Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan dan harga sasaran (TP) pada RM0.83, berdasarkan gandaan 25 kali pendapatan sesaham (EPS) CY26E yang tidak berubah, iaitu pada diskaun sekitar 1.5 sisihan piawai berbanding purata hadapan sektor lima tahun.
"Saranan BELI terhadap saham CPE turut dikekalkan," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Maybank IB, prestasi kewangan CPE bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26) secara keseluruhannya adalah sejajar dengan jangkaan, meskipun berdepan permintaan yang tidak sekata daripada pelanggan utama serta tekanan kadar pertukaran asing.
Keputusan tersebut mencerminkan penekanan berterusan kumpulan terhadap fasa pengeluaran projek FA yang dilihat sebagai langkah penting sebelum peralihan kepada pengeluaran besar-besaran.
Bagi separuh pertama FY26 (1HFY26), pendapatan teras CPE merosot 63% tahun ke tahun kepada RM5 juta, bersamaan 28% daripada unjuran penuh tahun penganalisis.
Penurunan ini sejajar dengan jangkaan, memandangkan pemulihan volum dijangka hanya berlaku pada separuh kedua FY26 apabila projek FA melepasi peringkat kelayakan dan memasuki fasa pengeluaran massa.
Hasil kumpulan susut 19% kepada RM51 juta, terutamanya disebabkan pesanan yang lebih lemah dalam segmen semikonduktor dan sains hayat, selain peningkatan aktiviti dalam projek FA yang tidak menjana hasil.
Keadaan ini menekan keuntungan, dengan margin EBIT mengecil 15 mata peratusan kepada 7.4%, manakala margin bersih teras merosot kepada 9.8%.
Dari segi suku ke suku, hasil menurun 1%, dipacu oleh pengurangan jualan dalam segmen sains hayat apabila kapasiti pengeluaran dialihkan kepada projek FA.
Bagaimanapun, penurunan itu sebahagiannya diimbangi oleh prestasi lebih kukuh dalam segmen semikonduktor dan peralatan sukan, yang masing-masing mencatat pertumbuhan 19% dan 29%.
Pendapatan teras turut menurun 20% suku ke suku kepada RM2 juta, susulan kelembapan volum berterusan dan kelemahan dolar AS, yang membawa kepada penyusutan margin teras sebanyak 2.1 mata peratusan.
Maybank IB berkata, prospek jangka sederhana hingga panjang CPE kekal positif, disokong oleh jangkaan pemulihan permintaan serta perbelanjaan modal (CAPEX) wafer fab yang berdaya tahan bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan nod teknologi termaju.
Sebarang semakan unjuran dijangka dibuat selepas taklimat keputusan kewangan kumpulan yang dijadualkan pada 12 Februari 2026. - DagangNews.com







