Farmiera catat hasil RM149.3 juta bagi 3QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farmiera catat hasil RM149.3 juta bagi 3QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov – Farmiera Bhd mencatatkan hasil sebanyak RM149.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025) dengan keuntungan bersih sebanyak RM885,000 menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 12 November ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Farmiera berkata, keuntungan bersihnya sepatutnya meningkat kepada RM1.3 juta sekiranya tidak mengambil kira perbelanjaan berkaitan tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah RM412,000.

 

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFY2025), Farmiera merekodkan keuntungan bersih RM5.42 juta. 

 

“Tanpa mengambil kira kos IPO, keuntungan bersih sebenar berjumlah RM6.46 juta dengan hasil sebanyak RM460.13 juta,” kata Farmiera.

 

Sebagai perbandingan, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), Farmiera mencatatkan keuntungan bersih RM7 juta daripada hasil RM561.07 juta.

 

Farmiera, yang diasaskan pada tahun 2013 dan beribu pejabat di Klang, terlibat dalam pengeluaran ayam pedaging serta pemprosesan ayam mentah. 

 

Pelanggannya terdiri daripada pengedar ternakan, peniaga serta rangkaian peruncitan seperti pasar raya dan penyedia perkhidmatan makanan.

 

Syarikat itu kini mengendalikan 15 ladang ayam pedaging sendiri dan bekerjasama dengan 44 ladang kontrak di Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Melaka. 

 

Ia turut mengendalikan dua loji pemprosesan ayam yang diperakui halal masing-masing di Ipoh, Perak dan Lukut, Negeri Sembilan.

 

Dalam penyenaraian itu, saham Farmiera ditawarkan pada harga 25 sen sesaham dan dijangka mengumpul lebih RM29 juta hasil daripada IPO. 

 

Dana berkenaan akan digunakan untuk memperkukuh rantaian bekalan huluan melalui pembangunan dua ladang induk pembiak baka (parent stock farm) dan sebuah pusat penetasan anak ayam (hatchery).

 

Ladang induk dijangka siap pada suku kedua 2026, manakala pusat penetasan dijangka beroperasi menjelang separuh pertama 2027.

 

Apabila siap kelak, ia dijangka mampu membekalkan sehingga 40 peratus keperluan ayam pedaging Farmiera, berbanding kini yang diperoleh sepenuhnya daripada pembekal luar.

 

Selepas disenaraikan, Farmiera akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM112.5 juta. Pada harga tawaran 25 sen sesaham, syarikat itu dinilai pada paras 16 kali ganda keuntungan tahun kewangan 2024. - DagangNews.com