Farm Fresh optimis catat prestasi kewangan positif 2H2025  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farm Fresh optimis catat prestasi kewangan positif 2H2025 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Sept – Pengeluar produk tenusu tempatan, Farm Fresh Bhd, optimis terhadap prestasi kewangan bagi separuh kedua 2025, selagi tiada gangguan besar dalam pasaran global.

 

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohd Khairul Mat Hassan, berkata syarikat kini menikmati manfaat daripada penurunan harga komoditi, khususnya kos jagung dan makanan soya, yang membantu mengurangkan tekanan terhadap margin keuntungan.

 

“Dengan permintaan produk susu sejuk yang semakin meningkat di Filipina, serta kekuatan operasi di Malaysia, kami yakin dapat mencatat keputusan kewangan yang positif,” katanya kepada media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Kepimpinan Kelestarian CFO ASEAN hari ini.

 

Mohd Khairul berkata, pihaknya juga yakin mencatat pertumbuhan keuntungan kukuh bagi tahun depan disokong oleh prestasi stabil dalam pasaran domestik serta perkembangan positif operasi di luar negara.

 

Beliau berkata, operasi syarikat di Australia kini berada di landasan pemulihan, manakala jualan di pasaran Malaysia kekal memberangsangkan.

 

“Pasaran Filipina menunjukkan potensi pertumbuhan yang tinggi, dan kilang baharu ini membolehkan kami memenuhi permintaan secara terus tanpa bergantung kepada eksport dari Malaysia,” tambah Mohd Khairul.

 

Katanya, syarikat juga sedang menilai penubuhan sebuah kilang baharu di Kemboja, sebagai strategi untuk menembusi pasaran Indochina, termasuk Laos, Myanmar dan Vietnam.

 

“Kemboja memiliki populasi muda, pertumbuhan KDNK per kapita yang positif serta budaya minum kopi yang kuat. Ini membuka ruang besar untuk produk tenusu kami, terutamanya yang berkaitan dengan segmen gaya hidup,” katanya.

 

Mohd Khairul berkata, walaupun syarikat telah meluaskan kehadiran ke beberapa negara rantau ini, sumbangan operasi antarabangsa termasuk di Singapura masih kurang daripada 5% daripada jumlah keseluruhan pendapatan kumpulan.

 

Mengenai strategi pertumbuhan, Mohd Khairul menjelaskan bahawa Farm Fresh kekal terbuka terhadap sebarang peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A), baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

 

“Namun kami hanya akan meneruskan pengambilalihan jika ia benar-benar selari dengan hala tuju strategik sama ada untuk memasuki pasaran baharu atau memperkukuh segmen produk tertentu dalam rantau sasaran,” katanya. - DagangNews.com