Farm Fresh berdepan gangguan bekalan resin ancam pembungkusan plastik produk — BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farm Fresh berdepan gangguan bekalan resin ancam pembungkusan plastik produk — BIMB Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 April — Masalah gangguan bekalan resin yang menjejaskan pembungkusan plastik produk bersaiz besar Farm Fresh Berhad kini menjadi perhatian pasaran, menurut analisis BIMB Securities.


Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut melihat impak kekangan berkenaan adalah terhad dan bersifat sementara, berikutan kesan perang di Timur Tengah yang menjejaskan penghantaran bahan mentah.


Ia menegaskan isu kekurangan resin yang sudah berlarutan selama tiga minggu itu bukannya berpunca daripada kelemahan operasi syarikat, sebaliknya faktor luaran dan berkaitan input bahan mentah import.


“Gangguan ini adalah bersifat operasi dan dijangka tidak lama, dengan kesan terhadap pendapatan Farm Fresh sendiri masih lagi terkawal,” tambah BIMB Securities dalam nota kajiannya hari ini.


Ujarnya lagi, kumpulan berkenaan sudah berjaya mendapatkan bekalan alternatif termasuk daripada PETRONAS Chemicals Group Berhad di Kerteh, Terengganu walaupun dengan kos baharu lebih tinggi.


Pada masa sama jelasnya, syarikat tersebut turut meningkatkan penggunaan pembungkusan kertas jenis ‘gable-top’ bagi mengurangkan kebergantungan tinggi kepada plastik sebelum konflik Timur Tengah.


Selain itu, BIMB Securities menyifatkan, pembungkusan plastik ini hanya menyumbang 3.7% daripada jumlah kos jualan Farm Fresh, sekali gus mengehadkan sensitiviti terhadap kenaikan harga resin.

 

Farm Fresh_DagangNews


"Walaupun diandaikan harga resin naik 30% dan volum turun 10%, kesan kepada margin kasar pula dianggarkan hanya 40 hingga 70 mata asas, iaitu masih dalam julat turun naik sejarah," katanya.


Tambahan pula ujar firma penyelidikan berkenaan, harga makanan ternakan sebagai komponen kos paling besar ketika ini semakin menurun, dan membantu dalam mengimbangi tekanan kos input lain.


BIMB Securities turut menekankan permintaan Farm Fresh di pasaran adalah kekal stabil, disokong corak penggunaan secara konsisten serta faktor yang bermusim seperti bulan Ramadan dan Syawal.


Menariknya, pengurusan syarikat itu memilih untuk menyerap kenaikan kos input tanpa memindahkan kepada pengguna, bagi memastikan kestabilan volum jualan dan mengekalkan bahagian pasarannya.


"Sehubungan itu, kami menaik taraf saham kumpulan ini kepada ‘beli’ daripada ‘pegang’, dengan harga sasaran (TP) pula yang masih lagi dikekalkan pada RM2.91 sesaham," kata firma berkenaan.


Di samping itu, BIMB Securities melihat aspek kelemahan harga saham semasa Farm Fresh sebagai peluang kemasukan pelabur secara taktikal, bukannya petanda kemerosotan asas syarikat tersebut.


Bagaimanapun, ia memberi amaran risiko utama kekal sepanjang tempoh gangguan bekalan, sekiranya konflik berlanjutan melebihi tiga bulan, yang boleh mula memberi tekanan kepada volum dan margin.


Secara keseluruhan, ia berpandangan pertumbuhan syarikat itu kekal utuh, disokong pelan pengembangan, kos makanan ternakan murah serta permintaan pasaran berdaya tahan. - DagangNews.com