KUALA LUMPUR 17 Julai – Syarikat kejuruteraan pembinaan, Zelan Bhd, yang kini disenaraikan sebagai syarikat PN17, telah melantik Faizal Yusof, 46 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata Faizal telah mempunyai pengalaman lebih 23 tahun dalam sektor kejuruteraan, pembinaan dan infrastruktur.
"Lembaga pengarah yakin keupayaan kepimpinan Faizal yang terbukti, kebijaksanaan strategik serta pengetahuan mendalam dalam industri akan menyumbang positif kepada inisiatif pemulihan syarikat serta pelaksanaan pelan penyusunan semula PN17 yang sedang dijalankan," kata syarikat itu.
Pelantikan Faizal dibuat selepas peletakan jawatan CEO terdahulu, Mohd Ariff Abd Samat, pada November 2024 selepas hanya tiga bulan menerajui syarikat kerana ingin meneruskan kerjaya lain.
Jawatan tersebut kemudiannya dipangku oleh Shareena Shahril.
Zelan dikategorikan dalam status PN17 pada Mei 2023 selepas juruaudit luar, Nexia SSY PLT, menyatakan pendapat berkecuali terhadap penyata kewangan beraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 - DagangNews.com








