KUALA LUMPUR 17 April – EXSIM Hospitality Berhad (EHB) melalui anak syarikat milik penuhnya, EXSIM Concepto Sdn Bhd (ECSB) meraih kontrak daripada Binastra Builders Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan kerja-kerja sub-kontrak bernilai RM138 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, EHB berkata ECSB telah menerima surat anugerah (LOA) bertarikh 15 April 2026 yang merangkumi pelbagai kerja sub-kontrak untuk projek berkenaan.
Skop kerja yang terlibat meliputi sistem mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP), kerja-kerja reka bentuk dalaman dan seni bina, serta perkhidmatan bangunan berkaitan lain.
Menurut syarikat itu, ECSB merupakan anak syarikat milik penuh EHB yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan hiasan dalaman khusus bagi aset hartanah hospitaliti.
Sementara itu, Binastra Builders Sdn. Bhd. merupakan syarikat kontraktor utama dan pemaju hartanah yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Projek berkenaan bermula pada 29 September 2025 dan dijadualkan siap pada 28 Februari 2029, dengan tempoh pelaksanaan selama 41 bulan.
EHB menjangkakan penerimaan kontrak tersebut akan memberi kesan positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham serta struktur gearing kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Lembaga pengarah syarikat turut menyatakan bahawa LOA berkenaan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa dan berpendapat penerimaan kontrak tersebut adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com








