Exsim capai hampir 90% sasaran FY26 selepas menang kontrak baharu - TA Securites | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exsim capai hampir 90% sasaran FY26 selepas menang kontrak baharu - TA Securites

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – Exsim Hospitality Berhad kini mencapai kira-kira 90.5% daripada sasaran kontrak sepanjang FY26 selepas memperoleh kontrak baharu bernilai RM41.5 juta dari Cosmopolitan Avenue Sdn Bhd, kata TA Securities.

 

Kontrak terbaharu itu melibatkan kerja seni bina serta mekanikal dan elektrik, dijangka bermula pada 1 April 2026 dan siap sepenuhnya pada 30 September 2026.

 

TA Securities berkata dengan kemenangan kontrak baharu ini, jumlah kontrak baru Exsim bagi FY26 setakat ini meningkat kepada RM226.2 juta, manakala jumlah pesanan tertunggak kini adalah sebanyak RM300.1 juta.

 

“Kami menganggarkan kontrak RM41.5 juta ini boleh menyumbang kira-kira RM6.2 juta keuntungan sebelum cukai (PBT) sepanjang tempoh pembinaan.

 

“Deretan projek EXSIM yang bernilai lebih RM30 bilion GDV terus menyokong aliran kerja dalaman, manakala projek berterusan daripada pelanggan sedia ada seperti Binastra Builders Sdn Bhd mengekalkan pertumbuhan pesanan tertunggak,” kata TA Securities dalam nota kajiannya hari ini.

 

Firma itu mengekalkan cadangan Beli ke atas saham Exsim dengan harga sasaran RM0.40, berdasarkan penilaian SOP yang merangkumi segmen reka bentuk & fit-out, hospitaliti, Corus Hotel, dan Tower E Hotel.

 

TA Securities berkata strategi hibrid dalam hospitaliti dijangka mengekalkan keterlihatan pendapatan jangka panjang, dengan potensi nilai masa depan melalui pelaburan dalam hospitaliti REIT.

 

Saham Exsim ditutup pada RM0.310 semalam, menunjukkan potensi kenaikan sehingga 38.4 peratus berbanding harga sasaran TA Securities.

 

Namun, beberapa risiko masih perlu diberi tumpuan antaranya kontrak baharu yang lebih perlahan daripada jangkaan dan prospek sektor pelancongan yang lemah. - DagangNews.com