KUALA LUMPUR 15 April – Express Powerr Solutions (M) Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, PT Express Power Energy meraih kontrak antarabangsa pertamanya selepas memeterai Perjanjian Kerjasama Usaha Sama (JCA) bagi projek penjanaan kuasa di Lombok, Indonesia.
Kontrak tersebut melibatkan penyediaan dan penyewaan unit penjana kuasa berasaskan kontena dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 15 megawatt (MW) kepada sebuah loji janakuasa di wilayah berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata JCA tersebut dimeterai bersama PT Triotama Toya Energi, sebuah syarikat berpangkalan di Indonesia yang terlibat dalam infrastruktur tenaga dan perkhidmatan kejuruteraan.
PT Triotama merupakan sebahagian daripada konsortium yang menjalankan projek penjanaan kuasa tersebut dan mempunyai rangkaian serta keupayaan operasi di lapangan di Indonesia.
Projek berkenaan dimiliki oleh PT PLN Nusantara Power Services, anak syarikat kepada PT PLN Nusantara Power, iaitu syarikat milik kerajaan Indonesia yang terlibat dalam operasi dan penyelenggaraan loji janakuasa serta perolehan peralatan elektrik.
Di bawah perjanjian itu, PT Express Power bersama PT Triotama akan bertanggungjawab untuk memperoleh dan membekalkan unit penjana kuasa berasaskan biodiesel serta melaksanakan kerja-kerja berkaitan seperti mobilisasi, pemasangan dan kerja-kerja elektrik serta sivil.
Tempoh sewaan bagi projek tersebut dijangka selama dua tahun bermula daripada tarikh operasi komersial, dengan kemungkinan lanjutan tempoh bergantung kepada keperluan projek.
Pengarah Urusan Express Powerr, Lim Cheng Ten berkata kontrak itu merupakan langkah penting dalam usaha syarikat mengembangkan operasi ke luar negara, khususnya ke pasaran Indonesia.
Beliau berkata kejayaan mendapatkan kontrak antarabangsa pertama itu juga membuktikan kebolehskalaan model perniagaan sewaan syarikat serta daya saing keupayaan operasi dan standard perkhidmatan di peringkat serantau.
Menurutnya, kerjasama dengan PT Triotama yang mempunyai rangkaian tempatan kukuh turut membuka peluang kolaborasi lebih luas serta potensi peningkatan asas pendapatan syarikat di rantau ini.
“Indonesia sedang melaksanakan pengembangan besar-besaran infrastruktur kuasa selaras dengan strategi peralihan tenaga, yang dijangka meningkatkan permintaan terhadap kapasiti penjanaan elektrik baharu dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Syarikat itu menjangka JCA berkenaan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan sepanjang tempoh sewaan dua tahun tersebut, selain tidak menanggung kos bahan api diesel bagi projek itu. - DagangNews.com








