Exchange 106 capai 75% penyewaan komited | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exchange 106 capai 75% penyewaan komited

Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur - Gambar Ainur Iman
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 17 Okt - Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX) mencapai 75% kadar penyewaan komited, melibatkan jumlah keseluruhan ruang boleh sewa seluas 1.7 juta kaki persegi.

 

Pencapaian ini meletakkan pembangunan tersebut di landasan untuk mencapai sasaran pulangan modal menjelang suku ketiga tahun 2026.

 

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat, kejayaan kadar penyewaan ini bersamaan dengan pengisian empat bangunan pejabat setinggi 30 tingkat.

 

“Mencapai pulangan modal merupakan satu penanda aras yang penting dari segi kewangan dan simbolik. Ia mencerminkan kekuatan ekosistem penyewa kami serta ketahanan model perniagaan yang dibangunkan.

 

"Ketika kami terus berkembang, kami kekal komited untuk mengangkat kedudukan Malaysia dalam landskap komersial global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Exchange 106, Faris Najhan Hashim dalam kenyataan tersebut.

 

Faris juga merupakan Pengarah Urusan Mulia Property Development Sdn Bhd, syarikat induk kepada Exchange 106.


 

bas

 


Peningkatan kadar pengambilan ruang tersebut turut didorong oleh peluasan daripada penyewa sedia ada, Urban Pinnacle Ventures Sdn Bhd, yang menandatangani tambahan ruang seluas 134,000 kaki persegi, menjadikan jumlah keseluruhan penyewaan hampir 250,000 kaki persegi.

 

“Peluasan kami di Exchange 106 mencerminkan keyakinan terhadap infrastruktur bertaraf dunia, lokasi strategik dan ekosistem progresif yang dibangunkan di TRX. Sinergi strategik bersama infrastruktur bertaraf dunia Exchange 106 telah membantu menarik lebih banyak penyewa daripada sektor kewangan dan perkhidmatan profesional, sekali gus mewujudkan komuniti perniagaan yang lebih dinamik dan bertaraf antarabangsa di menara ini,” kata Pengarah Urusan Urban Pinnacle Ventures, Alex Hu dalam kenyataan itu.

 

Urban Pinnacle merupakan anak syarikat Malaysia kepada CHL Management (China), yang mengendalikan lebih daripada 30 bangunan pejabat Gred-A di China.

 

Antara penyewa utama lain di Exchange 106 termasuk Huawei, Ant International, Accenture, Principal Asset Management dan Centauri.

 

Terletak di TRX, Exchange 106 mempunyai sambungan terus ke stesen pertukaran MRT TRX dan lebuh raya utama, dengan akses bersepadu ke kemudahan runcit, hospitaliti dan kediaman. Ia turut diiktiraf di Anugerah Tenaga Negara atas reka bentuk lestari serta kecekapan tenaga yang dimiliki. - DagangNews.com