KUALA LUMPUR 13 Mac - EWI Capital Berhad melupuskan 100% ekuitinya dalam Eco World (Macquarie) Pty Ltd kepada Versione NODE Sdn Bhd pada pertimbangan tunai A$32.0 juta (kira-kira RM89.6 juta).
Anak syarikat kumpulan itu, Fortune Quest Group Ltd, memeterai perjanjian jual beli bersyarat, termasuk pelupusan tapak pembangunan seluas 2,751 meter persegi di Macquarie Park, Sydney, Australia.
Tambahnya, Versione NODE, merupakan entiti milik bersama kepada Ascension Synergy Sdn Bhd dan JLG Land Macquarie Park Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat Eco World Development Group Berhad.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EWI Capital, Datuk Teow Leong Seng berkata, pelupusan tersebut merupakan langkah strategik mempercepatkan kitar semula modal dan mengukuhkan model perniagaan.
"Kami sedang beralih daripada pendekatan berorientasikan pembangunan kepada model pengurusan pelaburan bagi menjana aliran pendapatan yang lebih stabil dan berulang," katanya dalam kenyataan.
Hasil pelupusan ini meningkatkan kapasiti kewangan untuk memanfaatkan peluang dalam menjamin aset menawarkan pulangan diselaraskan serta mengembangkan portfolio pelaburan hartanah di Australia.
Modal yang diperoleh itu jelas Leong Seng, akan digunakan kemudian untuk menyokong penyertaan kumpulan EWI Capital sebagai pelabur utama dalam TrustCapital Australian Office Fund No.3 (AOF3).
Syarikat menyasarkan aset pejabat premium dengan hasil antara 6% hingga 8% setahun, manakala pelaburan dalam AOF3 dijangka mula menjana pendapatan bermula separuh kedua tahun kewangan 2026.
"Bagaimanapun, pelupusan kepentingan berkenaan turut dijangka mengakibatkan anggaran kerugian sebanyak A$4.23 juta (kira-kira RM11.86 juta) kepada kumpulan tersebut," tambah beliau lagi.
Kerugian ini kata Leong Seng, mengambil kira susut nilai nilai tanah dan pembatalan pengecualian cukai surcaj oleh pihak berkuasa New South Wales yang berjumlah A$10.59 juta (RM29.37 juta).
Ia akan digunakan bagi pembayaran balik kemudahan pembiayaan sedia ada (RM59.4 juta), pembayaran duti surcaj dan cukai tanah (RM29.6 juta), serta perbelanjaan berkaitan pelupusan (RM600,000).
Urus niaga ini namun masih lagi tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan persetujuan pemegang saham EWI Capital dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kumpulan yang akan diadakan kemudian.
"Secara keseluruhannya, proses pelupusan ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang separuh kedua tahun kalendar 2026," kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. - DagangNews.com








