Eversendai terima notis pembatalan kontrak Perkampungan Ski Trojena di Arab Saudi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eversendai terima notis pembatalan kontrak Perkampungan Ski Trojena di Arab Saudi

Ilustrasi artis mengenai projek perkampungan Ski NEOM Trojena di Arab Saudi - Gambar NEOM
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac – Eversendai Corporation Berhad menerima notis pembatalan kontrak bagi projek Perkampungan Ski NEOM Trojena di Arab Saudi yang berkuatkuasa mulai 26 Mac 2026.

 

Kontrak berkenaan sebelum ini dianugerahkan kepada Eversendai pada 13 Mac 2024 secara kerjasama dengan Al Bawani Co yang melibatkan reka bentuk, pembekalan, fabrikasi serta pemasangan struktur keluli bagi projek ski resort yang ikonik itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat menegaskan bahawa semua kerja telah dilaksanakan sepenuhnya mengikut obligasi kontrak sehingga tarikh pembatalan, tanpa menjejaskan keselamatan dan kualiti kerja.

 

“Kami percaya pembatalan ini adalah akibat daripada situasi geopolitik semasa di Timur Tengah, dan bukannya kelemahan dalam pelaksanaan projek Eversendai.

 

“Bagi memastikan kami mendapat pampasan yang adil, Eversendai kini sedang menyiapkan semua dokumen sokongan bagi membuktikan kemajuan projek sehingga tarikh pembatalan berkuatkuasa. 

 

“Ini termasuk tuntutan komersial bagi kerja yang telah disiapkan dan kos demobilisasi yang berkaitan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Eversendai yakin bahawa tuntutan yang lengkap dan disokong bukti ini akan dipertimbangkan dengan adil oleh pihak pelanggan. 

 

Syarikat itu menekankan bahawa mereka telah mematuhi sepenuhnya semua syarat kontrak dan standard keselamatan dan kualiti.

 

Buku tempahan semasa Eversendai berjumlah RM2.02 bilion, tidak termasuk baki kerja untuk Trojena Ski Village, manakala buku tender bagi projek baharu kini berjumlah RM18.4 bilion. 

 

Syarikat juga hampir menandatangani beberapa projek baharu yang dijangka menambah nilai kepada buku tempahan sedia ada.

 

Walaupun terdapat ketidakstabilan geopolitik di Timur Tengah, operasi syarikat di rantau tersebut kekal stabil. Eversendai tetap optimis dapat memperoleh lebih banyak projek di seluruh kumpulan bagi terus meningkatkan prestasi kewangan pada masa hadapan.

 

Eversendai Corporation Berhad dan kumpulan syarikatnya adalah kontraktor pakar bersepadu dalam reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, fabrikasi, dan pemasangan kerangka struktur dengan kehadiran operasi yang signifikan di Asia Tenggara, India dan Timur Tengah.

 

Selain itu, Eversendai juga mengeksport struktur fabrikasi ke Eropah khususnya bagi sektor Tenaga Boleh Baharu (Offshore Wind), dan terkenal kerana kejayaan dalam melaksanakan projek struktur yang sangat kompleks tanpa kompromi terhadap keselamatan, kualiti dan jangka masa siap.

 

Syarikat mempunyai tujuh fasiliti fabrikasi keluli di Malaysia, Singapura, Dubai, Sharjah, Ras Al Khaimah, Qatar, dan India, yang telah membolehkan mereka menyiapkan beberapa struktur ikonik yang menjadi kebanggaan negara masing-masing. - DagangNews.com