KUALA LUMPUR 12 Mac - Erdasan Group Bhd yang dikenali sebagai AT Systematization Bhd sebelum ini, menggantung tugas Pengarah Eksekutifnya, Mak Siew Wei, sementara menunggu hasil siasatan mengenai kemungkinan transaksi meragukan yang berlaku pada tahun 2020 dan 2021.
Kumpulan itu berkata, Siew Wei, yang menganggotai lembaga pengarah sejak 2013, memiliki kepentingan sebanyak 7.835% dalam Erdasan.
"Berikutan penggantungan tugas itu, beliau direhatkan daripada semua tugas, kuasa dan tanggungjawab sebagai Pengarah Eksekutif di Erdasan dan anak-anak syarikatnya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Syarikat itu yang beroperasi dalam pelbagai sektor termasuk fabrikasi bahagian industri dan kejuruteraan, reka bentuk dan pembuatan sistem automasi industri, tenaga boleh diperbaharui, serta penyewaan hartanah, telah melantik peguam Eric Tan dari Tetuan Ong Kok Bin & Co untuk memberikan nasihat guaman.
Siew Wei sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif di Pasukhas Group Bhd, AE Multi Holdings Bhd dan Trive Property Group Bhd, namun melepaskan semua jawatan tersebut pada hujung 2024.
Erdasan berdepan kerugian kewangan sejak 2016.
Bagi sembilan bulan yang berakhir pada 31 Disember 2024 (9MFY2025), kumpulan tersebut mencatatkan kerugian bersih yang lebih besar iaitu RM17.92 juta dengan penurunan hasil sebanyak 17% kepada RM22.98 juta berbanding RM27.72 juta pada tahun sebelumnya.
Penurunan hasil itu disebabkan oleh pengurangan jualan dalam segmen fabrikasi dan automasi, selain penamatan operasi pembuatan sarung tangan.
Pada akhir Januari 2025, syarikat mempunyai wang tunai dan setara tunai berjumlah RM74.99 juta, yang mencatatkan penurunan sebanyak 18.91% berbanding RM92.48 juta pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, keuntungan terkumpul syarikat adalah sebanyak RM279.27 juta. - DagangNews.com








