Equinix ambil alih tiga pusat data di Manila daripada firma teknologi terkenal Filipina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Equinix ambil alih tiga pusat data di Manila daripada firma teknologi terkenal Filipina

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Jun — Equinix Inc berjaya mengambil alih tiga pusat data di Manila, Filipina, daripada sebuah firma penyedia rumusan teknologi terkenal di negara tersebut, Total Information Management (TIM).


Syarikat infrastruktur digital bertaraf dunia itu berkata, langkah berkenaan yang tidak didedahkan nilainya, amat positif kerana pada 2024, ekonomi digital Filipina sudah mencecah 2.5 trilion peso (kira-kira RM191.1 bilion).


Ia menyumbang sebanyak 8.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Filipina yang meliputi pelbagai urus niaga digital, termasuk prasarana yang membolehkan e-dagang serta media dan kandungan digital.


"Populasi digital semakin meningkat, dengan disokong kemajuan dalam pembangunan awan serta inisiatif kerajaan seperti Pelan Jalur Lebar Nasional dan Kempen Digital Filipina," kata Equinix dalam satu kenyataan.


Langkah dilaksanakan pihak berkuasa negara tersebut katanya, juga mempercepatkan permintaan  terhadap pelbagai projek infrastruktur digital berprestasi tinggi dan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI).


Equinix tambahnya, menjadi tuan rumah kepada lebih 2,000 rangkaian di seluruh dunia dan memiliki hampir 40 peratus bahagian pasaran kepada penyedia perkhidmatan awan utama, dalam pasaran tempat ia beroperasi.


Tiga pusat data yang baharu diperoleh di Filipina ini kata Equinix, juga menjadi tuan rumah kepada pelbagai penyedia perkhidmatan rangkaian terkemuka dengan empat pertukaran internet (IX) utama di Manila sendiri.


"Ekosistem rangkaian teguh ini menawarkan pelbagai pilihan sambungan untuk perniagaan di Filipina serta menangani permintaan semakin meningkat untuk prasarana digital dan memupuk inovasi AI dalam negara," katanya.


Menerusi perkongsian strategik dengan peneraju industri AI seperti NVIDIA dan HPE, kemasukan Equinix ke Filipina memperkasakan organisasi tempatan menghubungi lebih 10,000 syarikat dalam ekosistem global luas Equinix. 


ASEAN sendiri katanya, muncul sebagai destinasi utama perniagaan global, menarik aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang belum pernah berlaku sebelum ini sebanyak AS$230 bilion (RM977 bilion) pada 2023.


Dengan rangkaian pusat data teguh merangkumi Indonesia, Malaysia dan Singapura, fasiliti Equinix di Filipina memberi pelanggan serta rakan kongsi global peluang membina prasarana digital dalam pasaran ASEAN.


Presiden, Asia-Pasifik, Equinix, Cyrus Adaggra berkata, peluasan ini memainkan peranan penting bagi memupuk kesalinghubungan, dengan lancar dan selamat dalam salah satu ekonomi digital paling dinamik di rantau ini.


"Kami bukan sahaja mengembangkan platform digital dengan meluaskan jejak di Asia Tenggara, tetapi menyokong pembangunan perkhidmatan dan teknologi AI termaju, sejajar cita-cita kerajaan," katanya. - DagangNews.com