KUALA LUMPUR 2 Julai - Epicon Bhd memulakan tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan bagi mendapatkan semula bayaran tertunggak berjumlah RM20.36 juta yang dikaitkan dengan satu kontrak subkontrak.
Syarikat itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Transnational Builder Sdn. Bhd. (TBSB), telah melantik Ibrahim & Sons Engineering Sdn. Bhd. sebagai subkontraktor bagi kerja-kerja pemasangan kabel bawah tanah untuk lima projek pemasangan kabel milik Tenaga Nasional Bhd. (TNB) pada Oktober 2023.
Nilai keseluruhan kontrak tersebut adalah RM130.89 juta, kata Epicon dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Menurut Epicon, TBSB telah mengeluarkan dua cek jaminan pelaksanaan berjumlah RM1.69 juta pada 17 Oktober dan 13 Disember 2023 sebelum menggantikannya dengan jaminan bank masing-masing pada 18 dan 21 November 2024.
Syarikat itu turut mengeluarkan dua lagi jaminan bank tambahan bagi tujuan jaminan pelaksanaan pada 21 dan 25 November 2024.
Daripada jumlah tersebut, tiga jaminan bank bernilai RM1.95 juta masih lagi berkuat kuasa.
Didakwa Gagal Memulangkan
Epicon berkata, Ibrahim & Sons didakwa gagal memulangkan jaminan berkenaan, menyebabkan jumlah tertunggak sebanyak RM16.71 juta daripada keseluruhan bil RM42.41 juta bagi kerja yang telah dilaksanakan oleh TBSB di bawah kontrak TNB itu.
Selain itu, TBSB turut memperoleh perintah pembekuan aset terhadap Ibrahim & Sons bagi menghalang aset syarikat berkenaan dipindahkan atau disembunyikan sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.
Menurut Epicon, syarikat tidak menjangkakan sebarang kesan negatif serta-merta terhadap operasi atau kedudukan kewangannya susulan tindakan undang-undang tersebut.
Pengurusan kes berhubung saman itu ditetapkan pada 19 Ogos ini. - DagangNews.com







