KUALA LUMPUR 10 Mac – EP Manufacturing Bhd (EPMB) menyasarkan pemasangan antara 120 hingga 180 unit kenderaan elektrik (EV) model MG S5 EV setiap bulan bagi pasaran domestik pada tahun ini.
Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata, secara keseluruhan pengeluaran kenderaan elektrik itu dijangka mencecah antara 1,500 hingga 2,000 unit sepanjang tahun.
Menurut beliau, pelancaran model EV tersebut bukan sahaja memperkenalkan kenderaan baharu kepada pengguna tempatan, malah membuka langkah untuk Melaka masuk ke dalam rantaian bekalan mobiliti elektrik di peringkat serantau.
“Perkembangan ini juga menyerlahkan peranan Melaka yang semakin penting dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti hijau,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MG S5 EV pemasangan tempatan di Hicom Pegoh Industrial Park.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Bhd, Hamidon Abdullah; Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi serta Ketua Pegawai Operasi syarikat itu, Hoffen Teh.
Ab Rauf berkata pemasangan kenderaan elektrik di negeri itu membuktikan Melaka mempunyai tenaga kerja mahir serta sumber mencukupi untuk mengendalikan teknologi automotif terkini.
“Perkembangan itu juga menunjukkan potensi Melaka untuk muncul sebagai hab pengeluaran kenderaan elektrik di negara ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan teknologi hijau negara.
“Selain itu, kerajaan negeri turut menawarkan peluang kepada pelabur untuk menjadikan Melaka sebagai hab pengedaran kenderaan dalam negara,” katanya.
Sementara itu, Emory Qi dalam satu kenyataan berkata pemasangan kenderaan elektrik MG S5 secara tempatan (CKD) merupakan pencapaian penting bagi jenama MG Motor di Malaysia serta mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk memperkukuh ekosistem EV di negara ini. - DagangNews.com








