EP Manufacturing beli 6 lot tanah industri berharga RM35.1 juta di Alor Gajah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EP Manufacturing beli 6 lot tanah industri berharga RM35.1 juta di Alor Gajah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac – EP Manufacturing Bhd (EPMB) melalui anak syarikat milik penuhnya, EP Moulds & Dies (M) Sdn. Bhd. (EPMD) menandatangani perjanjian jual beli bagi pengambilalihan enam lot tanah industri bebas di Mukim Pegoh, Daerah Alor Gajah, Melaka.

 

Perjanjian tersebut dimeterai dengan Xepa-Soul Pattinson (Malaysia) Sdn. Bhd. (XSPSB) pada 19 Mac 2026 dengan jumlah harga keseluruhan sebanyak RM35.117 juta. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, EPMB berkata transaksi ini dilakukan berdasarkan persetujuan “willing-buyer and willing-seller”.

 

“Tanah yang diambil alih mempunyai keluasan 75,873 meter persegi atau lebih kurang 18.75 ekar dan dikategorikan sebagai tanah industri. Tanah ini akan digunakan semata-mata untuk tujuan perindustrian dan pemindahan hak milik atau pajakan hanya dibenarkan dengan kebenaran pihak berkuasa negeri.

 

“Pengambilalihan tanah adalah untuk menyokong pengembangan operasi pemasangan kenderaan dan pembuatan komponen, termasuk penubuhan gudang tambahan dan stockyard bagi kenderaan yang sudah siap,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Harga pembelian ditentukan selepas penilaian bebas oleh Rahim & Co Chestertons menggunakan kaedah perbandingan pasaran. Mereka menilai harga tanah sekitar RM34.3 juta berdasarkan transaksi hartanah serupa di kawasan berhampiran.

 

XSPSB merupakan syarikat farmaseutikal milik Apex Healthcare Bhd., ditubuhkan pada 1969, manakala EPMD pula ditubuhkan pada 1990 dan menjalankan aktiviti pembuatan komponen besi. 

 

EPMD adalah anak syarikat milik penuh EPMB dengan pejabat berpusat di Shah Alam, Selangor.

 

EPMD telah membayar deposit berjumlah RM3.511 juta secara berperingkat sementara baki RM31.605 juta akan dibayar dalam tempoh 120 hari dari tarikh SPA lengkap. Faedah sebanyak lapan peratus setahun dikenakan jika berlaku kelewatan pembayaran baki.

 

Jumlah harga pembelian akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman syarikat dan pinjaman bank, bergantung kepada keputusan Lembaga Pengarah EPMB selepas mengambil kira keperluan modal kerja dan nisbah penggiraan hutang syarikat.

 

EPMB menegaskan bahawa pengambilalihan tanah ini tidak akan menjejaskan modal saham, pemegang saham utama atau keuntungan sesaham syarikat pada masa ini, namun dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan masa depan.

 

Pengambilalihan tanah ini seiring dengan strategi jangka panjang EPMB untuk memperkukuh kapasiti pengeluaran dan meningkatkan kecekapan logistik Kumpulan. - DagangNews.com