EON dan Agytek bangunkan platform SCRM untuk ekosistem automotif negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EON dan Agytek bangunkan platform SCRM untuk ekosistem automotif negara

Perjanjian MoC antara EON dan Agytek akan memperkukuh interaksi dan pengalaman pelanggan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad, telah memeterai Memorandum Kolaborasi (MoC) bersama Agytek Digital Sdn Bhd, syarikat teknologi digital di bawah Kumpulan Altel untuk membangunkan platform Pengurusan Hubungan Pelanggan Jualan (SCRM) berasaskan awan.

 

Kerjasama ini bertujuan menghasilkan platform SCRM mengikut acuan tempatan bagi memperkukuh interaksi dan pengalaman pelanggan serta memenuhi keperluan pengguna automotif di Malaysia dan rantau ini.

 

MoC tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial dan Ketua Pegawai Kewangan Agytek Digital, David Di Xiong. 

 

Turut menyaksikan majlis itu ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Perancangan Korporat & Strategi dan Hartanah DRB-HICOM, Azri Zaharuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Altel Group Sdn Bhd, Mohamad Helmi Harith.

 

Mou

 

Akkbar berkata, kerjasama itu adalah langkah strategik EON untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan dan membina keupayaan digital yang sesuai dengan keperluan tempatan. 

 

"Kami bersama Agytek sedang membangunkan satu penyelesaian yang boleh diintegrasi merentasi perniagaan runcit, korporat dan penyewaan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Meskipun platform itu dibangunkan berasaskan seni bina bertaraf global, elemen lokal termasuk aliran kerja pengurusan pelanggan, pengurusan data serta pengalaman pengguna akan dihasilkan bersama oleh EON dan Agytek.

 

David Di Xiong pula berkata, teknologi yang relevan dengan situasi semasa akan membantu menyelesaikan masalah sebenar perniagaan.

 

"Oleh itu, platform digital seperti SCRM ini direka khusus untuk industri automotif oleh tenaga kerja yang berasal dari industri yang sama dan bukan bersifat generik.

 

"Usaha ini turut menyokong agenda digitalisasi DRB-HICOM secara menyeluruh, yang menyasarkan transformasi ekosistem automotif Malaysia agar lebih bersedia menghadapi masa depan dan berpaksikan pelanggan melalui penggunaan teknologi inovatif," katanya.- DagangNews.com