KUALA LUMPUR 4 Sept – Eastern & Oriental Berhad (E&O) menerusi anak syarikatnya, Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TPD), berjaya memperoleh kemudahan pembiayaan sebanyak RM780 juta daripada AmBank Group bagi menyokong pelaksanaan fasa kedua kerja penambakan dan pembangunan infrastruktur Pulau Andaman di Pulau Pinang.
Dikenali sebagai antara projek pembangunan bercampur paling ikonik di utara tanah air, Pulau Andaman dilihat sebagai pemacu transformasi jangka panjang E&O, dengan pelan induk yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 30 tahun, membawa potensi nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM70 bilion.
Menurut Pengerusi Eksekutif E&O, Datuk Seri Tee Eng Ho, pembukaan Jambatan Gurney menjelang akhir 2025 dijangka meningkatkan keterhubungan ke pulau tersebut, seterusnya mempercepat transformasinya sebagai hab kehidupan urban baharu di Pulau Pinang.
“Projek ini akan menawarkan perumahan bertaraf tinggi dan pembangunan mampan, serta mewujudkan nilai jangka panjang bukan sahaja kepada syarikat, tetapi juga kepada komuniti dan ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan media.
Pembangunan Lestari Jadi Teras Pulau Andaman

Sehingga kini, pelbagai komponen pembangunan seperti The Meg, Arica, Fera, Senna (Fasa 1 & 2), The Lume dan Maris telah diperkenalkan ke pasaran dan menerima sambutan memberangsangkan.
E&O juga memaklumkan bahawa Fasa 3 untuk Fera dan Senna telah dilancarkan, manakala Fasa 4 akan menyusul tidak lama lagi.
Pulau Andaman turut menerima pensijilan Platinum Provisional oleh GreenRE, menjadikannya antara projek pembangunan yang menepati piawaian kelestarian tertinggi di negara ini.
Inisiatif ini merangkumi penggunaan tenaga boleh diperbaharui, sistem pungutan air hujan, dan penyediaan kawasan hijau yang luas.
Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank Group, Christopher Yap, menyifatkan pembiayaan ini sebagai bukti komitmen jangka panjang pihak bank dalam menyokong projek berimpak tinggi yang selari dengan agenda pembangunan mampan negara.
“Pulau Andaman adalah simbol pembangunan masa depan — menggabungkan pertumbuhan ekonomi, kepekaan alam sekitar dan impak sosial positif. Kami berbangga menjadi sebahagian daripada transformasi ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong, menambah bahawa pembiayaan tersebut akan memperkukuh kemajuan kerja penambakan dan infrastruktur yang menjadi asas kepada fasa-fasa pembangunan seterusnya.
“Kami amat berbesar hati dengan kesinambungan kerjasama bersama AmBank Group dalam merealisasikan visi jangka panjang kami untuk Pulau Andaman.
“Pulau Andaman adalah pembangunan transformasi jangka panjang yang bukan sahaja berteraskan kemajuan, tetapi juga kelestarian alam sekitar dan integrasi komuniti.
"Dengan skala pembangunan yang besar dan perancangan yang strategik, Pulau Andaman akan mentakrifkan semula kehidupan pulau bertaraf dunia serta menjadi destinasi antarabangsa pilihan pelabur, penduduk dan pelancong dari seluruh dunia,” katanya.
Semakin Mendapat Perhatian Pelabur
Dengan lokasi strategik, perancangan rapi, serta pelaksanaan pembangunan berfasa, Pulau Andaman dilihat sebagai pemangkin baharu kepada pasaran hartanah Pulau Pinang dan bakal menjadi destinasi tumpuan pelabur domestik serta antarabangsa.
Melalui kerjasama antara E&O dan AmBank, pelaburan ini turut memperkukuh usaha sektor swasta dalam menjayakan agenda pertumbuhan hijau Malaysia.
Pulau Andaman kini bersedia melakar sejarah baharu dalam pembangunan hartanah nasional, dengan impak jangka panjang yang menyeluruh kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar. - DagangNews.com








