Enproserve terlebih langgan 0.43 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Enproserve terlebih langgan 0.43 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai – Tawaran awam permulaan (IPO) Enproserve Group Bhd berjumlah 52.5 juta saham telah terlebih langgan sebanyak 0.43 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Julai ini.

 

Saham-saham itu adalah  sebahagian daripada 315 juta saham yang ditawarkan di bawah IPO tersebut yang merangkumi 210 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 105 juta saham sedia ada pada harga 24 sen sesaham.

 

Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan dan mekanikal yang berpangkalan di Terengganu itu berkata, pihaknya menerima 1,414 permohonan bagi 74.96 juta saham bernilai RM17.99 juta.

 

Daripada jumlah itu, bahagian Bumiputera menerima 705 permohonan untuk 40.57 juta saham (terlebih langgan 0.55 kali) manakala 709 permohonan diterima bagi 34.39 juta saham di bahagian bukan Bumiputera (terlebih langgan 0.31 kali).


"Sebanyak 18.32 juta saham baharu yang ditawarkan kepada individu layak juga telah habis dilanggan," kata Enproserve dalam satu kenyataan.

 

Ia turut mengesahkan penempatan persendirian melibatkan 139.18 juta saham baharu serta tawaran jualan 105 juta saham kepada pelabur terpilih telah habis diperuntukkan.

 

IPO itu dijangka meraih RM50.4 juta di mana 47 peratus atau RM23.68 juta akan digunakan untuk perbelanjaan modal dan operasi bagi memperluaskan kapasiti dan keupayaan Enproserve termasuk pembelian peralatan mengangkat berat untuk kegunaan dalaman dan disewakan. 

 

Baki sebanyak RM11.65 juta pula akan digunakan bagi membayar balik pinjaman bank manakala RM10.05 juta diperuntukkan untuk modal kerja.

 

Sebanyak 105 juta saham sedia ada yang ditawarkan untuk jualan dijangka menjana RM25.2 juta yang akan diterima sepenuhnya oleh Pengarah Urusan Enproserve Azman Yusof. 

 

Selepas disenaraikan, beliau akan mengekalkan pegangan ekuiti sebanyak 70 peratus dalam syarikat itu dengan nilai kira-kira RM252 juta.

 

Ketika ini, Enproserve mempunyai 19 kontrak aktif bagi perkhidmatan penyelenggaraan loji dan hentian di Johor Melaka Terengganu dan Pahang.
 

Kontrak-kontrak ini dijangka menyokong operasi syarikat sehingga 2029 dengan beberapa perjanjian menawarkan pilihan lanjutan.

 

KAF Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama penaja ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi IPO Enproserve. - DagangNews.com