KUALA LUMPUR 18 Sept – Engtex Group Bhd berada dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada pelaksanaan agresif inisiatif kerajaan bagi menggantikan paip air lama dalam usaha mengurangkan kadar non-revenue water (NRW) di seluruh negara, menurut CGS International.
Firma penyelidikan itu berkata, pelaksanaan program penggantian paip tidak lagi tinggal sekadar perancangan, sebaliknya sedang memasuki fasa pelaksanaan sebenar berikutan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa air.
Ini katanya, dapat dilihat apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meluluskan perbelanjaan modal sebanyak RM7.7 bilion pada Ogos 2025 untuk projek air, manakala kerajaan turut memperuntukkan RM2.5 bilion di bawah Program Nasional NRW 2025-2030.
“Kami lebih yakin kali ini kerana kerajaan menunjukkan iltizam yang konsisten untuk memperbaharui sistem paip air negara yang sudah usang. Pelaksanaan projek-projek besar dijangka menyumbang secara langsung kepada prestasi kewangan Engtex mulai FY26,” menurut laporan analisis tersebut.
CGS International berkata, kontrak mega air bernilai RM1.05 bilion bakal jadi pemacu pertumbuhan seperti Projek Pemindahan Air Perak-Pulau Pinang (WTP), Loji Rawatan Air Sungai Rasau Fasa 2 dan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2.
Ketiga-tiga projek ini dijangka menggunakan saiz paip antara 1.5 hingga 2 meter diameter, yang berada dalam keupayaan pengeluaran Engtex — memberi peluang kepada syarikat menikmati margin yang lebih tinggi.
“Engtex bukan sahaja memiliki kapasiti pengeluaran untuk memenuhi spesifikasi teknikal, malah telah membina reputasi kukuh dalam membekal paip berdiameter besar kepada projek air negara,” kata penganalisis.
Prospek permintaan jangka pendek Engtex turut diperkukuh oleh kenaikan tarif air yang mula berkuat kuasa di beberapa negeri Semenanjung pada Ogos dan September lalu — termasuk Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
“Kenaikan tarif kali kedua dalam dua tahun selepas lebih tiga dekad tidak berubah jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan kewangan operator air negeri, yang akan memacu permintaan untuk penggantian paip secara sistematik,” menurut laporan itu.
Selain itu, pertumbuhan pesat pusat data di Selangor dan Johor — susulan pengenalan kategori tarif khusus untuk kemudahan ini — turut dijangka merangsang permintaan tambahan terhadap sistem paip dan rawatan air.
Engtex juga mencatatkan lonjakan ketara dalam nilai tender paip kepada RM597 juta pada suku kedua 2025 (2QFY25), meningkat 60% suku ke suku (QoQ) dan 15% tahun ke tahun (YoY), dengan permintaan datang dari hampir semua negeri.
CGS International mengekalkan saranan ‘ADD’ dengan harga sasaran (TP) RM0.71, menjangkakan pertumbuhan ketara dalam pendapatan syarikat bermula FY26F.
“Setiap peningkatan 1 mata peratusan dalam margin kasar daripada asas 13.1% bagi FY26F berpotensi melonjakkan EPS Engtex sebanyak 21%,” katanya.
Walaupun risiko penurunan harga keluli dan kelewatan anugerah projek kekal, asas kewangan Engtex kini lebih kukuh. Permintaan yang semakin meningkat dijangka menyumbang kepada penarafan semula harga saham secara berperingkat.
Saham Engtex ditutup pada RM0.62 semalam, mencatat kenaikan 18% setakat tahun ini. - DagangNews.com








