KUALA LUMPUR 18 Mac – Enest Group Berhad akan memindahkan penyenaraian sahamnya daripada Pasaran Leap ke Pasaran ACE Bursa Malaysia sebagai satu langkah strategik syarikat untuk meningkatkan pengiktirafan dan capaian pelabur.
Enest terlibat dalam pemprosesan sarang burung mentah menjadi sarang burung yang boleh dimakan di Malaysia dan kini mengeksport ke China, Australia, Singapura dan Taiwan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Enest berkata pemindahan ini melibatkan keseluruhan saham diterbitkan syarikat sebanyak 581,250,040 saham.
“Bursa Malaysia telah memberikan kelulusan terhadap pemindahan ini melalui surat bertarikh 17 Mac 2026. Selain itu, pihak Bursa turut memberi kelulusan prinsip bagi pendaftaran prospektus penyenaraian Enest.
“Kelulusan ini memerlukan Enest dan penaja urus niaga, M&A Securities, mematuhi beberapa syarat sebelum pemindahan dapat dilaksanakan.
“Salah satu syarat utama adalah pengurusan moratorium saham bagi pemegang saham tertentu. Enest perlu memaklumkan nama pemegang saham, bilangan saham yang terlibat, serta tarikh tamat moratorium bagi setiap blok saham kepada Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd,” katanya dalam makluman tersebut.
Selain itu, Enest juga perlu memastikan semua kelulusan daripada pihak berkuasa lain telah diperoleh sebelum pelaksanaan pemindahan senarai saham.
Tambahan pula, syarikat mesti mematuhi syarat minimum pemilikan saham oleh Bumiputera seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Selain itu, Enest dan M&A Securities dikehendaki membuat pengumuman berkaitan pemindahan ini mengikut garis panduan Bursa Malaysia. Mereka juga perlu menyediakan jadual pengagihan saham kepada orang awam untuk memastikan pematuhan terhadap syarat ditetapkan.
Semua pengarah Enest perlu mengesahkan pematuhan terhadap syarat Bursa sekurang-kurangnya dua hari pasaran sebelum tarikh pemindahan. Bagi tawaran awam yang dijalankan, syarikat juga perlu mengumumkan hasil tawaran termasuk tahap langganan, asas peruntukan, pengagihan saham, dan pengenalan pemegang saham baru yang menjadi pemegang besar.
M&A Securities diminta memastikan pengagihan keseluruhan saham Enest dilakukan dengan teratur bagi mengelakkan perdagangan tidak teratur di pasaran sekunder. Syarikat perlu menghantar pengesahan bertulis kepada Bursa Malaysia bagi memaklumkan semua syarat dipatuhi sebelum penyenaraian rasmi di ACE Market. - DagangNews.com








