Empire Premium Food sasar kumpul RM152.6 juta melalui tawaran IPO 70 sen di Papan Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Empire Premium Food sasar kumpul RM152.6 juta melalui tawaran IPO 70 sen di Papan Utama

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac – Empire Premium Food Berhad menyasarkan kutipan kira-kira RM152.6 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) pada harga RM0.70 sesaham menjelang penyenaraian di Papan Utama Bursa Malaysia pada 17 April 2026.

 

IPO ini melibatkan sehingga 363 juta saham biasa, termasuk 218 juta saham baharu dan 145 juta saham sedia ada, mewakili kira-kira 33% daripada saham terbitan diperbesarkan.

 

Daripada hasil kutipan, sebanyak 51.8% diperuntukkan bagi membuka 56 cawangan baharu dalam format grab-and-go dan quick dine-in dalam tempoh tiga tahun kewangan akan datang, manakala 8.3% digunakan untuk menaik taraf dan membaik pulih cawangan sedia ada. 

 

Sebanyak 34.1% lagi diperuntukkan sebagai modal kerja, manakala baki 5.8% menampung kos berkaitan IPO. 

 

Berdasarkan harga IPO dan jumlah saham terbitan diperbesarkan, permodalan pasaran syarikat dijangka bernilai sekitar RM770 juta, dengan dasar dividen menyasarkan sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan selepas cukai.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nicole Lim berkata pelancaran prospektus itu adalah pencapaian penting bagi kumpulan dan memberi laluan kepada fasa pertumbuhan seterusnya.

 

“Kumpulan akan terus memperkenalkan menu sushi berkualiti tinggi yang kekal mampu milik sejajar misi “Premium Sushi for Everyone”,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh-Lau berkata pasaran domestik yang berdaya tahan dan permintaan pengguna terhadap makanan berkualiti mampu milik meletakkan Empire Premium dalam kedudukan baik untuk mengukuhkan kepimpinan pasaran dan memacu pertumbuhan.

 

Sehingga 25 Februari 2026, Empire Premium melalui Empire Sushi Sdn Bhd mengendalikan 143 cawangan di 13 negeri dan dua wilayah persekutuan, termasuk 127 cawangan grab-and-go dan 16 cawangan quick dine-in. 

 

Kumpulan ini telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Putra Brand Awards 2025, The BrandLaureate Award 2024, Putra Aria Brand Awards 2023 dan 2024, Star Outstanding Business Awards 2022 dan 2023 serta Sin Chew Business Excellence Awards 2022.

 

Permohonan tawaran runcit dibuka bermula 25 Mac 2026 dan akan ditutup pada 31 Mac 2026. - DagangNews.com