KUALA LUMPUR 14 April – Empire Premium Food Berhad mencatat keputusan kewangan interim pertama yang kukuh menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 17 April 2026, sekali gus memperkukuh prospek syarikat itu dalam sektor makanan dan minuman negara.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu melaporkan pendapatan sebanyak RM216.8 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2025 (9MFY2026), dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM48 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) RM35.1 juta.
Selepas pelarasan kos bukan berulang berkaitan penyenaraian, PAT terlaras kumpulan meningkat kepada RM37.1 juta, hampir menyamai prestasi keuntungan penuh tahun kewangan 2025 sebanyak RM37.9 juta, menandakan momentum pertumbuhan yang stabil.
“Bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2025 (3QFY2026), syarikat merekodkan hasil RM81 juta dengan PBT RM19.9 juta dan PAT RM14.6 juta. Selepas pelarasan kos sekali sahaja, PBT dan PAT masing-masing meningkat kepada RM20.7 juta dan RM15.5 juta.
“Prestasi tersebut disokong oleh operasi rangkaian makanan segera sushi di bawah jenama Empire Sushi yang kini merangkumi 143 cawangan di seluruh negara setakat 25 Februari 2026,” katanya dalam makluman terebut.
Daripada jumlah itu, 127 cawangan adalah berkonsepkan ‘grab and go’ yang menyumbang 87.4 peratus kepada jumlah pendapatan kumpulan, manakala 16 cawangan lagi adalah format ‘quick dine-in’ yang melengkapkan model perniagaan fleksibel syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Empire Premium Food Berhad Nicole Lim berkata prestasi kewangan tersebut mencerminkan kekuatan asas perniagaan yang disokong oleh permintaan pengguna yang konsisten serta pengurusan kos yang berdisiplin.
Beliau berkata syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pengembangan rangkaian operasi serta memperkenalkan inovasi menu baharu bagi memperkukuh daya saing dalam pasaran makanan segera yang semakin kompetitif.
Menurut maklumat penyenaraian, Empire Premium Food Berhad dijangka disenaraikan dengan permodalan pasaran sekitar RM770 juta berdasarkan harga tawaran awam permulaan (IPO) RM0.70 sesaham dan jumlah saham terbitan diperbesarkan sebanyak 1.1 bilion unit.
Syarikat itu ditubuhkan pada 2023 dan memiliki anak syarikat milik penuh, Empire Sushi Sdn Bhd, yang mengendalikan operasi rangkaian sushi terbesar di Malaysia berdasarkan hasil dan jumlah outlet, dengan konsep “Premium Sushi for Everyone”.
Secara keseluruhan, prestasi kewangan yang kukuh serta pengembangan rangkaian yang agresif dilihat meletakkan Empire Premium Food Berhad dalam kedudukan baik menjelang penyenaraian, sekali gus menarik perhatian pelabur terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan tersebut. - DagangNews.com








