KUALA LUMPUR 13 Mac – Empire Premium Food Bhd menandatangani perjanjian taja jamin dengan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menjelang penyenaraian syarikat itu di Papan Utama Bursa Malaysia.
Empire Premium yang memiliki jenama Empire Sushi melalui anak syarikat milik penuhnya, Empire Sushi Sdn Bhd, merupakan pengendali rangkaian sushi terbesar di Malaysia berdasarkan hasil dan jumlah cawangan.
Sehingga 31 Ogos 2025, kumpulan itu mengendalikan 132 cawangan di seluruh negara yang menawarkan produk sushi sedia dimakan.
Kumpulan itu merancang untuk terus mengukuhkan jenama Empire Sushi dengan memperluas rangkaian cawangannya di lokasi strategik di seluruh negara bagi meningkatkan lagi kehadiran jenama berkenaan dalam pasaran pada masa akan datang.
IPO yang dicadangkan akan melibatkan sehingga 363 juta saham biasa, mewakili kira-kira 33% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan, terdiri daripada tawaran penjualan sehingga 145 juta saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 218 juta saham baharu.
Daripada jumlah itu, sehingga 293 juta saham IPO atau sekitar 26.6% daripada saham terbitan yang diperbesarkan akan diperuntukkan kepada pelabur institusi, termasuk 137.5 juta saham tawaran kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Selain itu, sebanyak 155.5 juta saham IPO yang merangkumi 7.5 juta saham tawaran dan 148 juta saham baharu akan diperuntukkan kepada pelabur institusi serta pelabur terpilih selain pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.
Bagi tawaran runcit pula, sebanyak 70 juta saham baharu atau kira-kira 6.4% daripada saham terbitan yang diperbesarkan akan ditawarkan, termasuk 55 juta saham untuk permohonan orang awam Malaysia dengan separuh daripadanya diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera.
Sebanyak 15 juta saham lagi diperuntukkan kepada pengarah syarikat, kakitangan layak kumpulan serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Empire Premium, Nicole Lim berkata, perjanjian itu merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan syarikat ke arah penyenaraian.
Beliau berkata, hasil daripada IPO itu sebahagian besarnya akan digunakan dalam tempoh tiga tahun selepas penyenaraian bagi membuka cawangan baharu, menaik taraf serta membaik pulih cawangan sedia ada selain menyokong keperluan modal kerja kumpulan, manakala bakinya akan digunakan untuk menampung kos berkaitan pelaksanaan IPO. - DagangNews.com








