Empangan Bakun bakal peroleh pensijilan kemampanan bertaraf dunia tahun ini, menurut Sarawak Energy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Empangan Bakun bakal peroleh pensijilan kemampanan bertaraf dunia tahun ini, menurut Sarawak Energy

KUALA LUMPUR 18 Julai – Empangan Hidroelektrik Bakun dijangka menerima Pensijilan Piawaian Kemampanan Hidroelektrik (Hydropower Sustainability Standard – HSS) tahun ini, menjadikannya empangan terbesar di Asia Tenggara yang memperoleh pengiktirafan global berprestij tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata empangan itu memenuhi Keperluan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE10), iaitu piawaian yang diiktiraf meluas oleh pemain industri bagi pembangunan hidroelektrik mampan.

 

Dalam sesi panel pertama Minggu Tenaga Antarabangsa Ke-6 (IEW 2025) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 15 Julai lalu, Sharbini turut mendedahkan bahawa Empangan Bakun telah dicalonkan bagi menerima Anugerah Blue Planet 2025 oleh Persatuan Hidroelektrik Antarabangsa (IHA) yang mengiktiraf kecemerlangan dalam pembangunan hidroelektrik mampan.

 

Dengan kapasiti terpasang sebanyak 2,520 megawatt (MW), Empangan Bakun merupakan kemudahan hidroelektrik terbesar di Asia Tenggara, diikuti oleh Empangan Murum (944MW) dan Empangan Baleh (1,285MW) yang dijadualkan mula beroperasi secara berperingkat pada 2029 dan beroperasi sepenuhnya menjelang suku keempat 2030.

 

“Pada masa ini, Bakun dan Murum berfungsi sebagai penjana beban asas untuk Sarawak, membekalkan elektrik tanpa henti sepanjang tahun,” ujar beliau, menurut laporan TVS.

 

 

bakun

 

 

Sharbini berkata, semua projek hidroelektrik di bawah Sarawak Energy dipandu oleh piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa Empangan Besar (ICOLD) serta Piawaian Kemampanan Hidroelektrik, bagi memastikan operasi yang selamat, cekap dan mampan.

 

Mengulas mengenai sejarah pembangunan hidroelektrik di Sarawak, beliau menyatakan bahawa loji hidroelektrik pertama negeri ini, iaitu Empangan Batang Ai, mula beroperasi pada 1985 dan kini telah mencapai milestone 40 tahun operasi.

 

Perkembangan ini sekali lagi membuktikan komitmen Sarawak dalam memacu agenda tenaga mampan dan memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga hidro boleh diperbaharui di rantau ini. - DagangNews.com