KUALA LUMPUR 21 Ogos – Eksport sarung tangan getah Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh apabila mencatat lebih RM6 billion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Katanya, pada tahun lalu, nilai eksport keseluruhan mencecah RM15.4 bilion, dengan Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran utama (40% atau RM6.1 bilion), diikuti Kesatuan Eropah (21%), Jepun (6%) dan China (4%).
Tambahnya, baki eksport dihantar ke lebih 160 negara lain di seluruh dunia.
“Bagi tahun ini, Amerika Syarikat terus menjadi pasaran utama dengan menyumbang 46% daripada jumlah eksport sarung tangan getah.
"Walaupun bergantung besar kepada pasaran AS, Malaysia tetap mengekalkan kepelbagaian pasaran global,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Johari menegaskan, meskipun berdepan tarif 19% bagi eksport sarung tangan getah ke AS, Malaysia kekal berdaya saing.
“Malaysia masih menguasai sekitar 40% pasaran sarung tangan getah global dan terus menjadi pilihan utama pembeli antarabangsa kerana kualiti produk yang tinggi,” katanya.
Malaysia kini berdepan tarif 19% bagi eksport sarung tangan getah ke AS – sama seperti Thailand – namun jauh lebih rendah berbanding China yang dikenakan tarif 55%.
Tarif semasa ini adalah hasil Perintah Eksekutif baharu Presiden AS Donald Trump bertarikh 31 Julai 2025, yang menyemak semula kadar duti terhadap beberapa rakan dagang termasuk negara-negara ASEAN.
Di bawah senarai tarif terkini, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja masing-masing dikenakan kadar 19%, turun daripada 25% sebelum ini. - DagangNews.com








