KUALA LUMPUR 11 Julai – Eksport minyak sawit Malaysia dijangka meningkat bulan ini apabila pembeli mempercepatkan penghantaran sebelum tarif import Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa pada 1 Ogos, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu menjangkakan stok simpanan domestik akan meningkat enam peratus bulan ke bulan kepada 2.16 juta tan pada Julai 2025 disokong oleh pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) yang lebih tinggi berikutan lebih banyak hari menuai.
Eksport pula diunjurkan meningkat lima peratus kepada 1.32 juta tan didorong oleh pembelian awal ke AS sebelum pelaksanaan tarif baharu.
Bermula 1 Ogos depan, AS akan mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas semua produk minyak sawit dari Malaysia di bawah rejim "tarif timbal balik" manakala produk dari Indonesia akan dikenakan tarif lebih tinggi iaitu 32 peratus.
CIMB Securities berkata, langkah tarif itu akan meningkatkan kos minyak sawit bagi pembeli AS dan berkemungkinan mendorong mereka beralih kepada alternatif domestik yang lebih murah seperti minyak kacang soya sekali gus memberi manfaat kepada petani kacang soya AS.
Firma itu menambah bahawa pembeli mungkin mempercepatkan pembelian sebelum kadar tarif baharu dikenakan bagi mengambil kesempatan ke atas kadar semasa iaitu 10 peratus.
“AS hanya mewakili kira-kira 1.9 juta tan atau 2.4 peratus daripada jumlah penggunaan minyak sawit global. Perbezaan tarif tujuh mata peratusan antara Malaysia dan Indonesia buat masa ini memberi sedikit kelebihan daya saing kepada pengeluar minyak sawit Malaysia,” kata CIMB Securities dalam satu nota kajiannya.
Firma itu turut berpandangan kelulusan rang undang-undang 'Big Beautiful Bill' oleh Presiden AS Donald Trump yang merangkumi lanjutan insentif 45Z Clean Fuel Production Credit sehingga 2031 akan menyokong harga minyak kacang soya AS melalui peningkatan permintaan biodiesel.
CIMB Securities mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor minyak sawit dan menjangkakan harga CPO kekal dalam julat semasa.
Ramalan harga purata tahunan CPO 2025 kekal pada RM4,200 satu tan disokong oleh mandat biodiesel Indonesia dan kekangan terhadap peluasan kawasan tanaman baharu.
Bagi bulan Julai, harga CPO dijangka bergerak dalam lingkungan RM3,700 hingga RM4,100 satu tan.
Dari sudut pelaburan, IOI Corp Bhd kekal sebagai pilihan utama firma itu atas prospek penggabungan dan pengambilalihan dengan harga sasaran RM4.11 sesaham manakala Hap Seng Plantations Bhd dianggap sebagai saham nilai dengan harga sasaran RM1.88. - DagangNews.com








