KUALA LUMPUR 8 Sept – Berikut ialah transkrip temu bual e-mel Bernama bersama Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR).
1. Gabenor, bolehkah anda jelaskan keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengenai OPR minggu lalu?
MPC telah memutuskan untuk mengekalkan OPR pada paras 2.75% dalam mesyuarat kami pada 4 Sept minggu lalu. Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kami adalah wajar dan menyokong ekonomi di samping mengekalkan kestabilan harga.
Kami menjangkakan langkah penurunan OPR secara awal pada Julai lalu akan memberikan rangsangan tambahan kepada pertumbuhan bagi baki tahun 2025 dan seterusnya ke 2026.
MPC akan terus memantau perkembangan global, terutamanya yang berkaitan dengan perdagangan dan geopolitik, di samping menilai keseimbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi kami.
2. Beberapa perkembangan besar telah berlaku sejak mesyuarat MPC pada Julai, termasuk keputusan tarif Amerika Syarikat terhadap Malaysia. Apakah penilaian terkini MPC terhadap pertumbuhan domestik?
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4% pada separuh pertama tahun ini dan berada di landasan untuk mencapai unjuran pertumbuhan dalam lingkungan 4.0% hingga 4.8% pada 2025. Menjelang 2026, pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
Pertumbuhan guna tenaga dan gaji yang stabil, serta langkah dasar berkaitan pendapatan seperti kenaikan gaji penjawat awam dan peningkatan gaji minimum, dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
Langkah-langkah terkini yang diumumkan kerajaan juga akan menggalakkan penggunaan dalam negeri.
Pengembangan aktiviti pelaburan yang berterusan juga akan menyokong pertumbuhan pada masa hadapan.
Walaupun ketidaktentuan global kekal tinggi, Malaysia mempunyai rangkaian pelaburan yang sihat. Malah, data kelulusan terkini oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) menunjukkan momentum pelaburan yang berterusan, dengan kelulusan pada separuh pertama 2025 mencatatkan peningkatan 18.7% tahun ke tahun.
Selain itu, pelaksanaan projek awam pelbagai tahun yang sedang berjalan, bersama-sama dengan kadar penzahiran pelaburan swasta yang tinggi, akan membantu meningkatkan prospek ekonomi masa hadapan kita. Semua faktor ini akan membantu menampan kesan kejutan luaran.
Kadar tarif yang diumumkan sebanyak 19%, yang sedikit lebih rendah daripada yang diumumkan sebelum ini, kini memberikan kejelasan, membolehkan perniagaan merancang dengan lebih baik.
Di tengah-tengah pertumbuhan eksport yang sederhana dan ketidaktentuan berhubung tarif sektoral, kami menjangkakan permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) akan terus kukuh, disokong oleh permintaan yang stabil, peluang baharu dalam kecerdasan buatan, serta peningkatan pendigitalan.
Peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 juga dijangka membantu menampan eksport kita.
Namun, secara keseluruhannya, prospek ini kekal tertakluk kepada ketidaktentuan, terutamanya mengenai ekonomi global. Risiko penurunan terhadap prospek pertumbuhan berpunca daripada pertumbuhan perdagangan yang lebih perlahan, sentimen yang lebih lemah, dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Namun, bukan semua risiko berbentuk negatif. Hasil yang menggalakkan daripada rundingan perdagangan AS yang masih berjalan, dasar pro-pertumbuhan di ekonomi utama, permintaan berterusan terhadap barangan E&E, serta aktiviti pelancongan yang kukuh berpotensi meningkatkan eksport dan prospek pertumbuhan Malaysia.
3. Apakah pandangan MPC terhadap inflasi memandangkan perubahan dasar domestik yang terkini?
Inflasi keseluruhan dan teras masing-masing purata pada 1.4% dan 1.9% bagi tujuh bulan pertama tahun ini.
Penyederhanaan inflasi keseluruhan setakat ini didorong terutamanya oleh penurunan harga bagi item bukan teras, khususnya makanan segar dan bahan api.
Sebagai contoh, harga sayur-sayuran segar dan telur telah menurun sejak suku pertama tahun ini. Baru-baru ini, harga bahan api seperti RON97 dan diesel juga turun, susulan harga komoditi global yang lebih rendah.
Melihat ke hadapan, kami menjangkakan trend penurunan harga komoditi global akan terus menyumbang kepada keadaan kos domestik yang sederhana. Sehubungan itu, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana bagi baki tahun ini dan ke 2026.
Selaras dengan prospek pertumbuhan kami, permintaan domestik akan terus menyokong ekonomi tanpa menghasilkan tekanan inflasi yang berlebihan. Inflasi teras oleh itu dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya. Trend ini juga dijangka berterusan sehingga 2026.
Dalam persekitaran ini, kami menjangka kesan keseluruhan daripada pembaharuan dasar domestik yang diumumkan dan akan datang terhadap inflasi, seperti peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta semakan semula tarif elektrik, akan kekal terkawal. Ini turut disokong oleh reka bentuk langkah-langkah tersebut yang disasarkan, yang akan mengurangkan kesannya terhadap kebanyakan isi rumah.
4. Angka inflasi rasmi adalah rendah namun kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan rakyat Malaysia. Gabenor, bolehkah anda kongsikan pandangan mengenai hal ini?
Terima kasih kerana membangkitkan perkara ini. Tekanan kos sara hidup sememangnya wujud dan dirasai ramai. Isu ini kekal sebagai tumpuan utama dalam pertimbangan dasar yang lebih luas.
Kedua-dua angka inflasi rasmi kami — inflasi keseluruhan dan teras — adalah berdasarkan indeks harga pengguna (CPI), yang menjejak purata berwajaran harga barangan dan perkhidmatan yang lazim digunakan rakyat Malaysia.
Perubahan dalam CPI mencerminkan perubahan kos keseluruhan bagi “bakul” barangan rujukan dari semasa ke semasa, menunjukkan sama ada harga meningkat atau menurun bagi isi rumah. Ia direka sebagai penanda aras umum untuk membantu pembuat dasar memahami trend keseluruhan harga.
Namun begitu, corak perbelanjaan individu boleh berbeza. Ini mempengaruhi bagaimana inflasi dirasai oleh segmen rakyat yang berlainan. Makanan, sebagai komponen utama dalam bakul penggunaan isi rumah, adalah contoh yang jelas. Harga makanan boleh berbeza mengikut faktor seperti lokasi, tabiat pemakanan, pilihan produk dan akses kepada peruncit.
Di pusat bandar, harga lazimnya lebih tinggi kerana kos operasi yang lebih besar serta faktor permintaan yang membolehkan perniagaan mengenakan caj lebih mahal. Hasilnya, isi rumah bandar sering merasai tekanan kos berkaitan makanan lebih berbanding isi rumah luar bandar.
Sementara itu, inflasi CPI lazimnya diukur berdasarkan perubahan harga dari tahun ke tahun, iaitu membandingkan harga dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, bukan kenaikan terkumpul sepanjang beberapa tahun.
Justeru, meskipun inflasi sederhana pada tahun ini, paras harga mungkin kekal tinggi akibat kenaikan terdahulu.
Kos sara hidup pula bergantung kepada sejauh mana paras harga keseluruhan adalah tinggi berbanding pendapatan. Apabila harga terus meningkat dari semasa ke semasa, rakyat cenderung mengingati lonjakan besar pada tahun-tahun sebelumnya. Dan jika pendapatan tidak berkembang seiring, isi rumah akan semakin sukar untuk menampung barangan dan perkhidmatan yang sama.
Inilah sebabnya inflasi hanyalah satu aspek dalam isu kos sara hidup. Selain mengekalkan inflasi pada tahap rendah, pertumbuhan gaji memainkan peranan penting dalam meredakan tekanan kos sara hidup. Kos sara hidup merujuk kepada jumlah perbelanjaan yang diperlukan isi rumah untuk mengekalkan tahap kehidupan tertentu.
Apabila pendapatan berkembang dengan stabil dan mampan, isi rumah lebih berupaya mengurus kesan kenaikan harga. Ini perlu menjadi salah satu hasil teras dalam matlamat pembangunan negara dan ia menekankan kepentingan pembaharuan struktur Malaysia.
Akhirnya, apa yang diperlukan negara ialah lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi dan bergaji tinggi. Untuk mencapai ini, kita perlu terus menarik pelaburan berkualiti.
Inilah sebabnya kita memerlukan pelaksanaan berkesan langkah-langkah bagi menarik pelaburan bernilai tinggi, seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperluas kapasiti produktif Malaysia — pengeluaran maksimum yang boleh dihasilkan sesebuah negara berdasarkan sumbernya — di samping memanfaatkan AI dan pendigitalan untuk memacu peningkatan produktiviti, iaitu sejauh mana sumber ini digunakan dengan cekap.
Malah, lebih 30,000 pekerjaan berkemahiran telah diwujudkan pada 2024 (25.4% daripada jumlah pekerjaan yang diwujudkan tahun tersebut). Ini permulaan yang baik, namun masih banyak lagi yang perlu kita laksanakan dan capai.
5. Bolehkah kita menjangkakan lebih banyak pemotongan kadar faedah bagi baki tahun 2025?
Kami faham ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini. Izinkan saya jelaskan — pemotongan OPR pada Julai lalu adalah langkah awal yang diambil untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan Malaysia yang stabil di tengah ketidaktentuan luaran.
Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat pendirian dasar monetari adalah wajar dan menyokong ekonomi di samping memastikan kestabilan harga.
Fokus kami ketika ini adalah untuk menilai kesan pemotongan OPR terhadap aktiviti ekonomi, yang dijangka memberikan rangsangan tambahan bagi baki tahun 2025 dan seterusnya ke 2026. Secara keseluruhan, pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
Ke hadapan, MPC akan terus memantau perkembangan yang berterusan dan menilai keseimbangan risiko yang mempengaruhi prospek pertumbuhan dan inflasi domestik. - DagangNews.com








