Ekonomi Malaysia diramal tumbuh 5.4% pada 1Q26 disokong permintaan domestik, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia diramal tumbuh 5.4% pada 1Q26 disokong permintaan domestik, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mac – Ketegangan geopolitik global serta penyelarasan semula tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) dilihat menambah risiko terhadap ekonomi dunia, menurut TA Securities.


Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut menambah, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama 2026 dinilai sebagai masih kekal kukuh disokong permintaan domestik yang berdaya tahan.


Selain itu katanya, negara ini diramal mampu mengharungi kesan konflik melibatkan AS, Israel dan Iran yang semakin memuncak di Timur Tengah serta berpotensi mencetuskan ketidaktentuan pasaran global.


"Kami mengekalkan unjuran ekonomi Malaysia berkembang 5.4% tahun ke tahun (YoY) pada 1Q26, dengan pertumbuhan keseluruhan tahun dianggarkan berada dalam julat 4.3% hingga 4.7%," tambahnya.


TA Securities menerusi laporan ekonomi bulanannya berkata, walaupun momentum suku ke suku (QoQ)mungkin sederhana disebabkan faktor asas dan bermusim, aktiviti ekonomi domestik kekal teguh.


Jelasnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan terus disokong permintaan pengguna tempatan, aliran pelaburan stabil serta dasar ekonomi yang memacu pertumbuhan secara konsisten.


Kedudukan perdagangan Malaysia juga sedikit bertambah baik selepas AS menyeragamkan tarif import global kepada 15%, berbanding kadar sebelumnya yang lebih rendah bagi beberapa negara tertentu.


"Perubahan itu secara relatif merapatkan jurang daya saing Malaysia berbanding negara Asia lain seperti Singapura dan Jepun, serta memberi perlindungan kepada eksport kita," kata TA Securities.


Kelebihan berkenaan ujarnya, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan perantaraan, namun firma tersebut mengingatkan kesan daripada konflik di rantau Timur Tengah.


Perkembangan itu katanya, kemungkinan besar menyebabkan harga minyak mentah global meningkat melebihi AS$80 (RM314) setong, yang boleh memberi kesan bercampur kepada ekonomi Malaysia.


Sebagai pengeksport tenaga bersih jelas TA Securities, Malaysia berpotensi menikmati peningkatan hasil kerajaan daripada harga minyak lebih tinggi akibat isu kekurangan stok di pasaran global. 


"Kami menjangka setiap kenaikan AS$1 (RM3.93) dalam harga Brent menambah lebih RM300 juta hasil kerajaan, atau melebihi RM600 juta jika diambil kira dividen syarikat petroleum negara," katanya.


Pada masa sama tambah firma penyelidikan berkenaan, kenaikan harga tenaga di peringkat dunia namun boleh meningkatkan pula tekanan inflasi serta kadar kos logistik dan pengeluaran di Malaysia.


Justeru kata TA Securities, berdasarkan analisis setiap kenaikan AS$1 berpotensi meningkatkan indeks harga pengguna (IHP) Malaysia kira-kira 0.03%, manakala komponen pengangkutan naik 0.04%.


Jika harga minyak berada dalam lingkungan AS$90 (RM353) setong pada tahun ini, inflasi negara berpotensi meningkat kepada 2.3% hingga 2.6%, sekali gus melebihi sasaran rasmi hanya 1.6% hingga 2.0%.


"Sementara itu, perhatian pasaran kini tertumpu kepada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 Mac 2026 berhubung Kadar Dasar Semalaman (OPR) baharu," tambahnya.


TA Securities menjangkakan bank pusat berkenaan terus mengekalkan OPR semasa pada 2.75%, dengan mengambil kira inflasi domestik yang masih terkawal tetapi berdepan ketidaktentuan luaran.


Pendekatan dasar monetari ditetapkan BNM pula kata firma tersebut, diramal kekal berhati-hati bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara sambil mengimbangi risiko global yang semakin meningkat.


Dalam perkembangan lain, nilai ringgit menunjukkan prestasi lebih kukuh pada Februari 2026 apabila ditutup RM3.891 berbanding setiap dolar AS, meningkat 1.2% daripada RM3.938 pada akhir Januari 2026.


"Pengukuhan ini disokong prestasi ekonomi domestik dan tekanan dolar AS selepas Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat dasar monetari yang terkini," kata TA Securities.


Secara keseluruhan, ia mengekalkan pandangan berhati-hati, namun menegaskan perkembangan luar terus menjadi faktor utama mempengaruhi trajektori ekonomi Malaysia. - DagangNews.com