Ekonomi Malaysia diramal perlahan pada suku pertama disebabkan ketidaktentuan perdagangan, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia diramal perlahan pada suku pertama disebabkan ketidaktentuan perdagangan, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mei — Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku pertama 2025 mungkin lesu serta sukar menepati jangkaan pasaran ketika pelabur berusaha menangani kesan ketidaktentuan perdagangan dan pendedahan China ke atas ekonomi tempatan, kata penganalisis.


Rakan Pengurusan SPI Assett Management, Stephen Innes berkata, anggaran awal menunjukkan pertumbuhan KDNK negara ini sudah bergerak perlahan kepada 4.4 peratus tahun ke tahun pada Q1FY25, lebih rendah daripada 5.0 peratus direkodkan pada suku akhir 2024.


Keadaan itu berlaku walaupun terdapat rangsangan sementara dalam bentuk penghantaran awal eksport oleh syarikat-syarikat tersebut sebelum berlakunya kenaikan tarif yang menunjukkan ekonomi sudah kehilangan momentum walaupun sebelum ketidaktentuan dagangan memuncak.


"Ekonomi tidak memerlukan cabaran lain tetapi kesannya sudah kelihatan,” kata beliau sambil menambah, unjuran tersebut disukarkan lagi dengan faktor latar belakang geopolitik secara lebih luas.


Perkembangan membabitkan perubahan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan China mungkin mengurangkan risiko cabaran perdagangan, namun Innes memberi amaran impak sebenar ke atas sentimen dan aktiviti perniagaan telah bermula lebih awal sebelum ketegangan itu mereda.


Produk perkilangan misalnya kekal menguncup di sepanjang empoh suku berkenaan, sekali gus memaparkan keadaan aktiviti perindustrian yang perlahan dan lebih membimbangkan apabila aktiviti pelaburan juga menunjukkan tanda-tanda tekanan.


Permohonan pinjaman pelaburan tetap susut 3.1 peratus tahun ke tahun iaitu penurunan pertama bagi tempoh sejak akhir 2022, manakala pembayaran pelaburan turun 7.6 peratus, menandakan penurunan suku tahunan ketiga berturut-turut.


Peserta pasaran kini menilai sejauh mana penyusutan itu boleh dikaitkan dengan gangguan yang disebabkan isu tarif, dan sama ada terlepas pandang terhadap sebarang kelemahan jangka pendek untuk cenderung kepada potensi pemulihan jangka panjang.


"Bagaimanapun, risiko struktur lebih membimbangkan banyak pihak kerana isu sebenar bukan hanya berkaitan dengan mekanisme perdagangan tetapi ia adalah China. Hubungan perdagangan erat dengan ekonomi China yang terdedah kepada deflasi terbukti menjadi kelemahan berterusan,” kata Innes.


Katanya, memandangkan China pula masih lagi bergelut untuk merancakkan semula permintaan dan menstabilkan harga, kesan sampingan sedang dirasai di seluruh rantau Asia Tenggara, dan Malaysia secara khususnya turut terdedah.


Dalam persekitaran sebegini, sasaran pertumbuhan rasmi Malaysia sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus bagi 2025 sudah mula dilihat sebagai terlalu optimistik.


Penggubal dasar dilaporkan sedang mempertimbangkan semakan turun dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengubah nada dasarnya daripada neutral kepada cenderung rendah, namun berhati-hati.


BNM telah mengenal pasti cabaran luaran daripada ketegangan perdagangan di samping mengingatkan mengenai risiko limpahan susulan pertumbuhan lembap di negara rakan dagang utama.


Bank pusat itu mengakui cabaran luaran berikutan ketegangan perdagangan, malah turut memberi amaran mengenai risiko akibat pertumbuhan yang perlahan dalam kalangan rakan dagangan utama.


Bagaimanapun, inflasi yang terkawal memberi ruang kepada dasar BNM untuk bertindak dan berikutan prospek pertumbuhan semakin menurun, peluang untuk penurunan kadar dasar semalaman (OPR) dilihat cerah.


"Pengurangan sebanyak 2.5 mata asas seawal bulan Julai kini dilihat berpotensi dilaksanakan, terutamanya jika angka suku pertama terus merosot atau permintaan global terus melemah," kata Innes.


Secara keseluruhannya, pengumuman KDNK suku pertama 2025 bukan sekadar gambaran aktiviti ekonomi terkini, tetapi ia menjadi ujian keyakinan pelabur terhadap kemampuan Malaysia untuk menghadapi persekitaran luaran yang lebih mencabar.


Walaupun pasaran mungkin ingin mengetepikan kelembapan dalam waktu terdekat, realitinya ekonomi China masih terperangkap dalam keadaan statik dan pelaburan domestik terus merosot.


"Ia memberikan mesej yang jelas iaitu Malaysia mungkin sedang menghadapi tekanan terhadap daya tahan ekonominya, dan penurunan kadar faedah bukan lagi sekadar kemungkinan, ia mungkin menjadi kenyataan," tambah Innes.


Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, KDNK suku pertama negara dijangka lebih tinggi daripada anggaran awal 4.4 peratus yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Ia berikutan prestasi lebih baik daripada jangkaan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pembuatan dan perdagangan borong serta runcit pada Mac 2025 yang mencerminkan prestasi luar dan domestik Malaysia.


Beliau berkata faktor-faktor sokongan lain untuk pertumbuhan KDNK yang konsisten adalah aktiviti peminjaman yang berterusan serta inflasi rendah, dengan kedua-duanya menyokong penggunaan domestik dan pelaburan. - DagangNews.com