Ekonomi Malaysia diramal lebih perlahan akibat tarif Trump, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia diramal lebih perlahan akibat tarif Trump, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 April - Pertumbuhan ekonomi Malaysia diramal mungkin berkembang pada kadar lebih perlahan daripada jangkaan tahun ini, susulan pelaksanaan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) bermula minggu depan, menurut penganalisis.
 

Mereka mengunjurkan langkah terkini diperkenalkan Presiden Donald Trump itu boleh menjejaskan kilang-kilang berorientasikan eksport ke negara tersebut dengan impaknya juga datang daripada rakan dagangan utama Malaysia seperti China dan Kesatuan Eropah (EU).


Dua ekonomi berkenaan kata penganalisis, turut dikenakan tarif AS yang lebih tinggi, dan perkembangan tersebut dijangka mengurangkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 0.6 hingga 1.0 mata peratusan untuk 2025.


"Kami sedang menyemak semula prospek perdagangan luar Malaysia, memandangkan permintaan import AS lebih lemah, didorong tarif yang tinggi serta penurunan dalam aktiviti dagangan dua hala dan global," kata CIMB Securities dalam satu nota kajian.


Firma penyelidikan itu menjangkakan ekonomi Malaysia mungkin berkembang sebanyak 4.0 peratus, bukannya 5.0 peratus disasarkan sebelum ini. Ramalan rasmi kerajaan mengunjurkan pertumbuhan KDNK antara 4.5 dan 5.5 peratus untuk 2025.


Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menyifatkan tekanan luar yang semakin meningkat dengan ketegangan perdagangan antarabangsa, tetapi masih lagi mengekalkan unjuran pertumbuhan.


Presiden Trump mengumumkan dalam perintah eksekutif, pelaksanaan tarif sebanyak 24 peratus ke atas barangan yang diimport dari Malaysia berkuat kuasa pada 9 April 2025 sebagai dasar perdagangan menyeluruh melibatkan semua rakan dagangan. 


Kadar tarif timbal balik terbaharu yang dikenakan AS itu juga berbeza-beza antara setiap negara.


Malaysia mengekalkan lebihan dagangan dengan AS, terutamanya melalui pengeksportan produk elektronik, minyak sawit dan jentera manakala AS pula merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia sejak 2015.


Penghantaran ke dan dari AS menyumbang sebanyak 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia sendiri, yang turut menekankan kepentingan negara berkenaan.


Bagi United Overseas Bank, kesan langsung daripada tarif timbal balik AS ke atas Malaysia dan kesan sekunder tarif ke atas rakan dagangan utama boleh mengurangkan 0.7 mata peratusan daripada ramalan garis dasarnya kepada 4.0 peratus untuk 2025.


"Kami berpendapat bahawa ketidakpastian dan kepentingan pendedahan Malaysia yang berpanjangan kepada segmen semikonduktor akan memberi kesan kepada prospek perdagangan serta pertumbuhan," kata firma itu sambal memberi amaran kebimbangan.


AS telah mengenakan 34 peratus levi ke atas barangan dari China, rakan dagangan terbesar Malaysia manakala EU, satu lagi rakan dagangan utama Malaysia, akan dicaj 20 peratus oleh AS. - DagangNews.com