EI Power meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EI Power meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 April – EI Power Berhad (EIP), penyedia perkhidmatan kejuruteraan tenaga memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd sebagai persediaan untuk penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Perjanjian tersebut melibatkan penjaminan saham terbitan awam, pelaksanaan penawaran khas Borang Merah Jambu dan penawaran terhad kepada pemegang saham OCK Group Berhad. 

 

M&A Securities juga bertindak sebagai penasihat, penaja, penjamin dan agen penempatan bagi urus niaga penyenaraian ini.

 

EI Power, melalui anak syarikatnya, menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi penyelesaian tenaga misi kritikal, tenaga konvensional dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Penyenaraian awam ini melibatkan terbitan 129.5 juta saham baharu, mewakili 18.5 peratus daripada jumlah saham selepas penyenaraian, dan penjualan 70 juta saham sedia ada, bersamaan 10 peratus daripada jumlah saham selepas penyenaraian.

 

Daripada saham baru, 35 juta saham ditawarkan kepada orang awam, 17.5 juta saham untuk pengarah dan pekerja, manakala 14 juta saham ditawarkan kepada pemegang saham OCK melalui penawaran terhad. Baki 63 juta saham ditawarkan melalui penempatan khas kepada pelabur Bumiputera terpilih.

 

Daripada 70 juta saham sedia ada, 24.5 juta akan ditempatkan kepada pelabur Bumiputera terpilih, manakala baki 45.5 juta saham ditawarkan kepada pelabur tertentu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif EI Power, Ir. Albert Chang Wan Siong berkata perjanjian ini menandakan satu langkah penting ke arah penyenaraian syarikat dan membuka peluang untuk memperluas operasi serta keupayaan syarikat.

 

“Hasil penyenaraian akan digunakan untuk memperluas kapasiti operasi, meningkatkan perkhidmatan, dan mengembangkan jejak geografi termasuk ke Thailand, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan tenaga yang boleh dipercayai dan cekap,” katanya.

 

Syarikat itu menawarkan perkhidmatan reka bentuk, pengurusan projek, pembekalan, pemasangan, ujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem penjana diesel serta sistem solar fotovoltaik untuk memastikan kelangsungan operasi perniagaan pelanggannya.

 

Berpusat di Shah Alam, EI Power telah beroperasi selama kira-kira 16 tahun, meliputi pelbagai jenis bangunan termasuk hartanah komersial, industri, kediaman, ladang solar, serta fasiliti kritikal seperti pusat data dan kilang semikonduktor. 

 

Operasinya merangkumi seluruh Malaysia, dengan kehadiran di kawasan tengah, selatan, timur dan utara.

 

Syarikat ini diiktiraf sebagai Kontraktor Elektrik Kelas A oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia dan berdaftar sebagai Kontraktor G7 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, membolehkan mereka melaksanakan projek tanpa had nilai kontrak.

 

EI Power juga merupakan Penyedia Perkhidmatan PV berdaftar dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) membolehkan penglibatan dalam projek solar PV.

 

EI Power dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada suku kedua 2026, sejajar dengan pertumbuhan industri yang memerlukan infrastruktur tenaga berkapasiti tinggi, termasuk pemindahan kilang semikonduktor dan elektronik ke Malaysia. - DagangNews.com