KUALA LUMPUR 12 Mac - Eco World Development Group Berhad mencatatkan lonjakan untung bersih sebanyak 106% kepada RM165.6 juta bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2026 (1QFY26).
Ia meningkat berbanding hanya kira-kira RM80.3 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, dengan prestasi luar biasa ini didorong terutamanya oleh jualan tanah perindustrian yang berskala besar.
Urus niaga itu jelasnya, melibatkan 56 hektar di Eco Business Park I kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd dan 24 hektar di Eco Business Park V kepada Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd.
"Pendapatan dan keuntungan kasar kumpulan bagi tempoh 1QFY26 masing-masing meningkat sebanyak 151% dan 126% berbanding 1QFY25," kata EcoWorld dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kumpulan meraih RM2.06 bilion jualan dalam tempoh empat bulan pertama FY26, mencapai 52% daripada sasaran RM4.0 bilion setahun, angka tertinggi pernah direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama.
Kedudukan tunai kumpulan tersebut tambahnya, turut kukuh dengan baki tunai termasuk deposit dan dana jangka pendek mencecah RM2.9 bilion, iaitu paras paling tinggi dalam sejarah syarikat.

Sementara itu jelas EcoWorld, kadar nisbah gear atau hutang bersih adalah bertambah baik apabila susut kepada 0.17 kali berbanding kira-kira 0.28 kali yang dicatatkan pada 31 Oktober 2025.
"Susulan itu, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 2 sen sesaham, iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding hanya 1 sen pada 1QFY25," kata kenyataan berkenaan
Hasil masa depan kumpulan tersebut juga meningkat kepada RM5.1 bilion setakat 28 Februari 2026, sekali gus memperkukuhkan keterlihatan aliran tunai bagi jangka masa pendek dan sederhana.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah berkata, prestasi cemerlang ini mencerminkan penembusan pasaran semakin mendalam merentasi semua tonggak.
Ini jelas beliau, terutamanya hasil melalui segmen Eco Townships yang menyumbang sebanyak RM812 juta jualan, serta membuktikan ramai bakal pembeli terus berminat dengan hartanah ditawarkannya.
"Bergerak ke hadapan, kumpulan kekal optimis terhadap permintaan asas bagi projek namun akan terus berdisiplin dalam pengurusan kewangan bagi menghadapi ketidaktentuan global," katanya. - DagangNews.com








