Ecoscience peroleh kontrak RM55.85 juta bagi penggantian kilang minyak sawit di Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ecoscience peroleh kontrak RM55.85 juta bagi penggantian kilang minyak sawit di Sabah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov – Ecoscience International Berhad (EIB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Ecoscience Manufacturing & Engineering Sdn. Bhd menerima surat anugerah (LOA) daripada Genting Oil Mills (Sabah) Sdn. Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, EIB berkata, kontrak itu adalah projek reka bentuk, pembinaan dan penggantian lengkap (turnkey) bagi kilang dan mesin di Genting Sabapalm Oil Mill (GSOM), Sabah. 

 

“Projek itu melibatkan penggantian mesin untuk kilang minyak sawit berkapasiti 30 tan sejam (30TPH) dengan nilai kontrak sekitar RM55.85 juta termasuk cukai jualan dan perkhidmatan. 

 

“Kerja dijangka bermula pada 31 Januari 2026 dan siap sepenuhnya dalam tempoh 23 bulan menjelang 31 Disember 2027,” kata EIB dalam makluman tersebut.

 

Persiapan awal untuk kerja reka bentuk pula dijadualkan bermula pada 1 Disember 2025.

 

Lembaga Pengarah EIB berkata, tiada risiko besar yang dijangka berkaitan dengan kontrak ini selain risiko operasi biasa yang wujud dalam pengurusan projek seumpama itu. 

 

Kontrak ini dijangka tidak memberi kesan kepada modal terbitan syarikat, pegangan saham pemegang saham utama, aset bersih, nisbah hutang atau pendapatan sesaham syarikat dan anak syarikatnya. 

 

Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh kontrak.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan dalam kontrak ini.

 

Lembaga Pengarah menegaskan penerimaan kontrak ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan kerana diperoleh dalam laluan perniagaan biasa, ia tidak memerlukan kelulusan pemegang saham. - DagangNews.com