Ecobuilt rancang teroka segmen hartanah, bahan binaan untuk pelbagaikan pendapatan jangka panjang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ecobuilt rancang teroka segmen hartanah, bahan binaan untuk pelbagaikan pendapatan jangka panjang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 April – Ecobuilt Holdings Berhad bercadang untuk mempelbagaikan perniagaannya bagi memperluaskan aktiviti kumpulan dengan memasuki segmen pembangunan hartanah serta perdagangan bahan binaan, sebagai usaha memperkukuh asas pendapatan jangka panjang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ecobuilt berkata keputusan muktamad tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan datang.

 

Ketika ini, kumpulan bergantung sepenuhnya kepada perniagaan pembinaan sebagai kontraktor utama, namun telah mencatatkan prestasi kewangan yang masih mencabar dengan kerugian berterusan dalam beberapa tahun kewangan kebelakangan ini.

 

Bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mei 2022, kumpulan merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM12.1 juta, diikuti kerugian RM30.5 juta bagi tahun kewangan 2023, sebelum meningkat kepada RM44.5 juta bagi tempoh 15 bulan berakhir 31 Ogos 2024.

 

Bagaimanapun, kerugian tersebut menunjukkan penyusutan kepada RM528,000 bagi tempoh 15 bulan berakhir 30 November 2025, mencerminkan sedikit pemulihan dalam prestasi operasi kumpulan.

 

Menurut syarikat, kerugian yang dialami adalah berpunca daripada faktor industri termasuk kenaikan kos bahan binaan dan buruh, kelewatan pelaksanaan projek serta isu kutipan bayaran daripada pelanggan yang memberi kesan kepada aliran pendapatan.

 

Di bawah cadangan kepelbagaian perniagaan ini, segmen pembangunan hartanah akan merangkumi aktiviti seperti pembangunan projek kediaman, komersial dan industri, termasuk penjualan serta penyewaan hartanah, selain potensi kerjasama dengan rakan strategik.

 

Sementara itu, segmen perdagangan bahan binaan pula akan melibatkan aktiviti pembekalan dan pengedaran bahan pembinaan seperti simen, besi dan komponen berkaitan, yang turut dijangka menyokong keperluan projek dalaman kumpulan serta pelanggan luar.

 

Jika diluluskan, syarikat menjangkakan langkah ini mampu mewujudkan sinergi operasi serta memperkukuh daya tahan pendapatan kumpulan, selain mengurangkan kebergantungan kepada satu sektor perniagaan utama dalam jangka panjang. - DagangNews.com