KUALA LUMPUR 14 Nov – Pemaju hartanah, Eco World Development Group Bhd melancarkan program nota jangka sederhana (MTN) bernilai RM1.88 bilion untuk membiayai sebahagian pembangunan dan pengambilalihan tanah bagi projek pusat data di Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, EcoWorld berkata, program MTN yang tidak dinilai (unrated MTN) itu dilancarkan melalui subsidiari milik penuh, Quantum Alpha Sdn Bhd (QASB), entiti yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan projek pusat data tersebut.
“Penerbitan pertama, bernilai RM3.58 juta, telah diselesaikan pada Khamis manakala bakinya yang akan diterbitkan dari masa ke semasa, telah dilanggan sepenuhnya oleh sebuah institusi kewangan tempatan utama, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kekuatan kredit kumpulan dan prospek jangka panjang projek pusat data itu,” katanya.
Pada Februari lalu, QASB telah menandatangani perjanjian bina dan sewa dengan Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd, sebuah entiti berkaitan Google, untuk membangunkan dan menyewa pusat data dalam Eco Business Park V di Puncak Alam, Selangor.
Di bawah perjanjian itu, QASB akan membina struktur asas bangunan bagi pusat data di atas tanah seluas 92.44 ekar mengikut spesifikasi penyewa.
“Projek dijadual siap pada 2027 dan akan disewa kepada Pearl Computing untuk tempoh awal 20 tahun, dengan jumlah sewa dianggarkan sehingga RM4.8 bilion termasuk pilihan pembaharuan 10 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, EcoWorld juga mengumumkan penjualan 58.19 ekar tanah perindustrian dalam taman yang sama kepada Pearl Computing dengan harga RM266.1 juta.
Kumpulan itu menegaskan ia masih berada dalam perbincangan dengan pelabur institusi berpotensi untuk menyertai pembangunan pusat data tersebut.
Perbincangan ini mungkin membawa kepada penglibatan pelabur dengan mengambil pegangan dalam QASB, walaupun EcoWorld mahu mengekalkan sehingga 80% pegangan dalam syarikat itu. - DagangNews.com








