Eckem Holdings meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eckem Holdings meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 April – Eckem Holdings Berhad, penyedia perkhidmatan rumusan kimia industri khusus di Malaysia menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd menjelang tawaran awam permulaannya (IPO) di pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Syarikat yang ditubuhkan pada 2007 ini juga terlibat dalam pembuatan dan perdagangan produk berasaskan getah yang dijual kepada pengeluar dalam dan luar negara.

 

IPO Eckem Holdings melibatkan penerbitan 125 juta saham baru dan penjualan 62.5 juta saham sedia ada melalui tawaran jualan. Tujuan utama IPO ini adalah untuk memperkukuh asas operasi syarikat dan membiayai rancangan pengembangan.

 

Saham IPO diagihkan kepada beberapa kategori, termasuk orang awam Malaysia, pengarah dan pekerja syarikat melalui pink form, pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, serta pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Untuk tawaran orang awam, 31.25 juta saham akan disediakan, dengan separuh diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera. Bagi pengarah dan pekerja, 31.25 juta saham akan diagihkan melalui borang merah jambu.

 

Selain itu, 15.63 juta saham baru diperuntukkan untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI, manakala 46.88 juta saham lain akan ditempatkan kepada pelabur terpilih. Penjualan 62.5 juta saham sedia ada pula dilakukan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

 

Di bawah perjanjian itu, M&A Securities akan menjamin 62.5 juta saham bagi tawaran orang awam dan pengagihan kepada pengarah serta pekerja. Saham lain akan ditempatkan terus kepada pelabur Bumiputera dan pelabur terpilih.

 

Menurut Eksekutif Pengarah Eckem Holdings, Tan Khai Jeik, perjanjian itu merupakan langkah penting dalam perjalanan korporat syarikat. 

 

“IPO dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperkukuh kemampuan syarikat menawarkan rumusan kimia khusus mengikut permintaan pasaran.

 

“Hasil daripada IPO akan digunakan untuk membina pejabat korporat, gudang, dan makmal baharu, menambah barisan pengeluaran untuk produk getah, membayar pinjaman bank, menampung modal kerja, serta menampung kos senarai,” katanya.

 

Laporan penyelidik pasaran yang disertakan dalam prospektus menjangkakan jualan produk kimia akan meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan 12.3% dari 2024 hingga 2027, manakala produk getah pula dijangka meningkat 9.1% setahun dalam tempoh yang sama.

 

M&A Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin, dan Ejen Penempatan bagi IPO ini. Dengan penyenaraian di ACE Market, Eckem Holdings berhasrat memperkukuh kehadiran pasaran dan menyokong permintaan industri tempatan terhadap produk kimia dan getah khusus. - DagangNews.com