KUALA LUMPUR 19 Mac – Eckem Holdings Berhad memperoleh kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE, menandakan langkah penting ke arah pertumbuhan syarikat itu.
Kumpulan pengedar bahan kimia industri tersebut berkata, hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraian berkenaan akan digunakan untuk pelbagai tujuan pengembangan operasinya.
Antaranya jelas syarikat tersebut dalam kenyataan, termasuk pembinaan pejabat korporat baharu, gudang dan makmal, selain memperluaskan barisan pengeluaran bagi segmen produk berasaskan getah.
Pengarah Eksekutif Eckem, Jack Tan Khai Jeik berkata, kelulusan daripada Bursa Malaysia itu menjadi pencapaian penting dalam usaha syarikat berkenaan sendiri menjadi entiti tersenarai awam.
“Dana daripada IPO ini akan membolehkan kami memperkukuh keupayaan operasi, selain mengembangkan infrastruktur dan meletakkan kumpulan pada landasan pertumbuhan seterusnya,” kata beliau.
Menurut draf prospektus yang diterbitkan pada Oktober 2025, syarikat bercadang menerbitkan 125 juta saham baharu dan tawaran jualan 62.5 juta saham sedia ada, namun harga IPO belum diumumkan.
Eckem yang ditubuhkan pada 2007, aktif menjalankan perniagaan utama dalam pengedaran, jualan dan formulasi bahan kimia industri khusus yang menyumbangkan sebahagian besar pendapatannya.
Syarikat berkenaan juga kata kenyataan kumpulan itu, terlibat aktif dalam usaha pembuatan serta perdagangan produk berasaskan getah termasuk barangan penjagaan diri dan gaya hidup pengguna.
"Selain pengembangan infrastruktur, dana diperoleh menerusi IPO itu turut akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank, keperluan modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian," jelasnya.
M&A Securities Sdn Bhd dilantik Eckem sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO syarikat tersebut. - DagangNews.com








