ECERDC realisasikan pelaburan RM1.12 bilion di Kelantan setakat September 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ECERDC realisasikan pelaburan RM1.12 bilion di Kelantan setakat September 2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merealisasikan pelaburan bernilai RM1.12 bilion di Kelantan sehingga September 2025.

 

Sektor pembuatan menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

 

Selain itu, pelaburan komited berjumlah RM736 juta yang merangkumi sektor pertanian, perkhidmatan dan industri dijangka menghasilkan lebih 1,300 peluang pekerjaan baharu apabila direalisasikan sepenuhnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, antara projek tumpuan utama ECERDC ialah pembinaan Jambatan Palekbang–Kota Bharu yang kini mencapai tahap siap 22%. 

 

“Projek ini dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar, memendekkan jarak perjalanan antara Kota Bharu dan Tumpat serta membuka laluan pelaburan baharu di utara Kelantan. 

 

“Apabila siap kelak, ia akan merancakkan sektor perdagangan, logistik dan pelancongan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Peningkatan momentum pembangunan di Kelantan mencerminkan keyakinan kukuh pelabur terhadap potensi negeri untuk berkembang dalam jangka panjang. 

 

t

 

Tambahnya, ECERDC komited untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan agensi persekutuan bagi memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif kepada rakyat.

 

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan ECERDC memainkan peranan penting dalam merangka pelan pembangunan jangka panjang serta memastikan setiap inisiatif pembangunan infrastruktur dan fasilitasi pelaburan selaras dengan keutamaan negeri. 

 

“Perkongsian strategik ini akan membuka peluang pekerjaan berkualiti dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

 

Antara projek strategik lain yang sedang dilaksanakan termasuk projek naik taraf infrastruktur di Taman Industri Tok Bali bagi menarik pelabur sektor marin dan logistik sebagai hab logistik utama.

 

t

 

Seterusnya, membangunkan kemudahan awam di Rantau Panjang bagi menyokong perdagangan serta pelancongan sempadan. 

 

ECERDC juga sedang menyiapkan Loji Rawatan Air Kelar Fasa 2 untuk menambah kapasiti bekalan air di Pasir Mas serta membangunkan Zon Pelancongan Bersepadu Geting di Tumpat bagi memperkukuh sektor pelancongan negeri.

 

Dalam sektor pertanian, ECERDC telah menyiapkan Pusat Pengumpulan Susu Kambing (GMCC) di Pasir Puteh yang dijangka beroperasi pada Januari 2026. Pusat ini akan membantu penternak kecil menembusi pasaran stabil dan meningkatkan pengeluaran berasaskan nilai tambah.

 

Pada masa sama, Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan turut menyaksikan majlis menandatangani dua perjanjian utama iaitu perjanjian tiga pihak antara ECERDC, Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN Kelantan) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK), serta perjanjian komersial antara PKPNK dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Awang (PPK Bukit Awang).

 

Perjanjian ini memperkukuh pelaksanaan Projek IPR-INTAN Machang seluas 50 ekar di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), melibatkan 100 peserta B40 dalam penanaman cili menggunakan sistem fertigasi berasaskan teknologi Internet of Things (IoT). 

 

Projek tersebut disasarkan mampu menjamin pendapatan minimum RM2,000 sebulan bagi peserta, di samping melahirkan agropreneur moden dan menyumbang kepada keselamatan makanan negara. - DagangNews.com