KUALA LUMPUR 24 Mac – East West One Group (EWOG) telah menyambung semula kerja-kerja pemulihan di ladang kelapa sawit miliknya di Sabah selepas berdepan kelewatan berpanjangan dalam penyaluran dana amanah yang diluluskan.
Langkah itu menandakan perkembangan penting dalam usaha memulihkan operasi ladang yang sebelum ini terjejas susulan gangguan aliran dana selama kira-kira lapan bulan.
Menurut EWOG, program Penstrukturan Semula dan Pemulihan (R&R) dilaksanakan selaras dengan penghakiman persetujuan yang diluluskan Mahkamah Tinggi, yang mengawal selia pentadbiran serta penyaluran dana amanah.
Walaupun mendapat mandat jelas daripada pekebun dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 12 Ogos 2024, dana operasi tidak disalurkan secara berkesan dalam tempoh tersebut, sekali gus menjejaskan garis masa pemulihan.
Jurucakap EWOG berkata, pemulihan ladang perlu dilaksanakan dalam tempoh biologi yang terhad dan kelewatan dana telah memberi tekanan besar kepada keadaan ladang.
Katanya, penyambungan kerja pemulihan di lapangan merupakan langkah penting yang telah dilaksanakan, namun kemajuan berterusan bergantung kepada pelepasan dana operasi yang konsisten dan tanpa gangguan.
“Pemulihan ladang beroperasi dalam tempoh biologi yang sangat terhad. Walaupun rangka kerja R&R telah diluluskan oleh pihak berkepentingan dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi, ketiadaan penyaluran dana yang tepat pada masanya telah memberi tekanan besar kepada ladang.
“Penyambungan kerja pemulihan di lapangan adalah satu langkah penting ke hadapan. Namun, kemajuan berterusan bergantung kepada pelepasan dana operasi yang tepat pada masanya dan tanpa gangguan selaras dengan rangka kerja yang diluluskan mahkamah,” katanya.
Situasi itu menyebabkan kelewatan dalam aktiviti penting seperti pembajaan dan penyelenggaraan, sekali gus mempercepatkan kemerosotan aset ladang.
Selain itu, keadaan tersebut turut meningkatkan kos pemulihan serta menambah risiko terhadap operasi dan proses pemulihan secara keseluruhan.
Bagi menstabilkan keadaan, EWOG telah melantik Cekal Gelora Sdn Bhd untuk melaksanakan fasa awal kerja pemulihan di lapangan.
Antara keutamaan segera termasuk pembersihan kawasan ladang yang terbiar, pemulihan akses, penilaian hasil serta pelaksanaan pemulihan agronomi peringkat awal.
EWOG turut melantik perunding bebas bagi menilai keadaan asas ladang serta memastikan ketelusan dan akauntabiliti sepanjang proses pemulihan dilaksanakan.
Dalam masa sama, kelewatan dana turut memberi kesan kepada pemilik tanah dan komuniti setempat yang bergantung kepada ladang sebagai sumber pendapatan.
Sehubungan itu, EWOG menggesa pemegang amanah memastikan pelepasan dana dilakukan secara cekap dan berterusan bagi melindungi nilai aset serta kepentingan semua pihak berkepentingan. - DagangNews.com








