KUALA LUMPUR 10 Feb — TA Securities optimis Duopharma Biotech Berhad berada pada landasan pertumbuhan teguh pada 2026, dengan keuntungan bersih disasarkan mencecah RM100.2 juta bagi FY26.
Menurut firma penyelidikan itu, ia disumbangkan oleh tahun terakhir kontrak kerajaan di bawah Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL) untuk kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu jelasnya, jualan yang mampan, dan kadar pertukaran ringgit lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka menyokong pertumbuhan kumpulan pada tahun kewangan tersebut.
"Kami dimaklumkan bagi tempoh 9M25, Duopharma mencatat keuntungan bersih RM68.4 juta, melepasi keseluruhan keuntungan FY24 sebanyak RM62.6 juta," kata TA Securities dalam notanya hari ini.
Prestasi kukuh itu tambah firma berkenaan, disokong oleh peningkatan jualan merentas semua segmen perniagaan, harga bahan aktif farmaseutikal (API) yang menggalakkan serta pengukuhan ringgit.
Bagaimanapun, ia menjangkakan prestasi suku keempat 2025 sedikit sederhana susulan pemberhentian tempahan kerajaan pada Disember 2025, namun kesan itu diimbangi jualan kukuh kepada sektor swasta.
Kata TA Securities, 2026 merupakan tahun terakhir kontrak APPL sedia ada, dengan Duopharma sudah membekalkan 100 produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada fasiliti kesihatan kerajaan.

"Nilai kontrak ialah RM684.2 juta sehingga 31 Disember 2026, dan permintaan kerajaan kelazimannya memuncak pada tahun akhir kontrak, sekali gus menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan," katanya.
Firma penyelidikan itu turut merujuk usaha syarikat berkenaan mendapatkan kontrak insulin manusia yang baharu dengan nilai dianggarkan lebih RM400 juta untuk tempoh lagi tiga tahun akan datang.
Tender yang sedia ada jelas TA Securities, menyumbang sekitar 8% hingga 10% hasil pada FY24, telah tamat pada Oktober 2025, namun pembelian masih diteruskan Duopharma melalui tempahan tempatan.
Justeru, ia menjangka sumbangan insulin kekal bermakna, dengan unjuran 9% daripada hasil kumpulan pada FY26, selain rancangan bersama Biocon yang bakal meningkatkan bekalan pasaran jangka panjang.
"Kumpulan ini turut dilihat sebagai penerima manfaat pengukuhan ringgit, memandangkan harga kontrak APPL ditetapkan RM4.70 bagi setiap AS$1, manakala sebahagian besar kos dalam dolar AS," katanya.
Sehubungan perkembangan semasa, TA Securities menganggarkan untuk setiap 5% penyusutan dolar AS berbanding ringgit, keadaan tersebut boleh meningkatkan lagi pendapatan Duopharma sekitar 4.9%.
Ia namun menurunkan sedikit unjuran keuntungan FY25 kepada RM88.6 juta, serta mengekalkan anggaran FY26 hingga FY27, di samping masih tidak mengubah saranan 'beli' dan harga sasaran RM1.70 sesaham.
Secara keseluruhan, ia menilai kumpulan ini berada dalam kedudukan teguh untuk mencatat prestasi lebih baik pada 2026, disokong permintaan kerajaan yang memuncak, dan mata wang kukuh. - DagangNews.com








