KUALA LUMPUR 2 Dis – Walaupun berdepan tekanan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) yang sedikit membantutkan momentum pertumbuhan dalam jangka terdekat, Aurelius Technologies Bhd (ATech) dijangka terus berada pada landasan kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang, disokong peningkatan penggunaan kapasiti dan kemasukan pelanggan baharu ke fasiliti P5, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB)
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan BELI terhadap saham ATech dengan harga sasaran RM1.17, berpandukan 21 kali unjuran EPS FY2026, hampir +1 sisihan piawai daripada purata lima tahun sektor teknologi.
Menurut Maybank IB, inisiatif produk baharu (NPI) ATech telah membuka ruang kepada syarikat untuk mengembang kepada segmen komunikasi dan IoT generasi baharu, meskipun peralihan daripada model legasi serta penangguhan pelanggan akhir menjejaskan prestasi sementara segmen tersebut.
Kilang P1 hingga P3 bagaimanapun terus mencatat kadar penggunaan sekitar 90%, meskipun permintaan daripada pelanggan utama sektor minyak dan gas kekal hambar.
Dalam masa sama, pelanggan utama teknologi, dikenali sebagai Customer F, menunjukkan peningkatan kukuh dengan kadar operasi meningkat 10%-15% suku ke suku merentasi tujuh barisan pengeluaran.
Fasiliti P5 mula capai momentum
Menurut Maybank IB, taklimat korporat ATech turut mengesahkan kejayaan syarikat lulus proses kelayakan bagi jenama automotif kedua daripada 13 jenama yang kini dalam fasa validasi.
Jenama tersebut kini telah memasuki pengeluaran besar-besaran terkawal di kilang P5, manakala usaha melayakkan jenama ketiga dan keempat dijangka berlangsung sepanjang 2026.
"Penggunaan P5 meningkat kepada 15% pada suku ketiga, berbanding 10% pada suku sebelumnya – menunjukkan pelaksanaan yang semakin rancak dalam meningkatkan kapasiti jangka panjang," katanya.
Cabaran jangka pendek, peluang jangka panjang
Menurut Maybank IB, kelemahan dolar AS dan segmen peranti elektronik yang perlahan dijangka terus mengekang prestasi jangka pendek, melainkan peningkatan permintaan lebih cepat direkodkan daripada pelanggan automotif atau pelanggan fintech.
Namun begitu, prospek jangka panjang ATECH kekal menarik berikutan pendedahan syarikat kepada pengalihan perdagangan global, pangkalan pelanggan antarabangsa yang niche, serta strategi pertumbuhan yang konsisten.
ATech juga diletakkan sebagai penerima manfaat kepada permintaan E&E yang semakin berubah ke arah rantai bekalan Asia Tenggara.
Penilaian masih menarik
Maybank IB melihat tiada perubahan diperlukan kepada unjuran pendapatan syarikat ketika ini, sambil menegaskan potensi kenaikan jangka panjang masih utuh.
ATech dijangka terus mendapat manfaat daripada peningkatan kapasiti dan peluasan pelanggan yang sedang berjalan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu pemain E&E tempatan dengan prospek pertumbuhan mapan. - DagangNews.com








